'Kami reda kerana Allah sebaik-baik perancang' – Sekeluarga terkilan, perjalanan umrah terjejas akibat pergolakan

'Kami reda kerana Allah sebaik-baik perancang' – Sekeluarga terkilan, perjalanan umrah terjejas akibat pergolakan

mhafis@mediaprima.com.my

Johor Bahru: “Agak terkejut dan terkilan juga kerana ini kali pertama kami sekeluarga merancang menunaikan umrah, namun saat menunggu hari untuk berangkat, ada pula ujian yang perlu kami hadapi.”

Itu luahan Muhd Qusyairi, 26, yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila perjalanan umrah bersama keluarganya terjejas susulan pergolakan di Arab Saudi.

Menurutnya, mereka sekeluarga sudah membuat persiapan lengkap dan hanya menunggu masa untuk berlepas sebelum dimaklumkan agensi umrah mengenai situasi di negara berkenaan pada jam 9 pagi tadi.

Katanya, mereka mengambil masa untuk menerima kenyataan itu memandangkan sudah lama menghitung hari untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Lebih meruntun perasaan, katanya, ahli keluarga dari Kelantan juga sudah datang ke Johor Bahru bagi menyertai perjalanan umrah itu.

“Ini kali pertama kami nak pergi umrah bersama keluarga, kira-kira sembilan orang semuanya.

“Memang rasa takut dan terkilan, tetapi kami cuba reda kerana Allah sebaik-baik perancang. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.

Qusyairi berkata, mereka masih berharap dapat meneruskan perjalanan itu sebaik keadaan kembali mengizinkan.

Buat masa ini, mereka menunggu maklumat mengenai tarikh penerbangan baharu daripada pihak agensi.

“Bagaimanapun, sekiranya penangguhan mengambil masa lama, mereka mungkin terpaksa pulang terlebih dahulu kerana ada ahli keluarga yang perlu kembali bekerja.

“Kalau sehari dua, kami boleh tunggu di Johor Bahru dulu. Kami tetap berharap dapat pergi apabila keadaan kembali pulih.

“Selagi ada rezeki, kami akan cuba. Apa pun, kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Terdahulu beberapa syarikat penerbangan membatalkan jadual penerbangan ke Arab Saudi sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang mengorbankan kira-kira 12 nyawa, selain mencederakan lebih 300.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top