'Saya sempat pangku Ziad, tapi dia sudah meninggal dunia' – Bapa

'Saya sempat pangku Ziad, tapi dia sudah meninggal dunia' – Bapa

nfazlina@nstp.com.my

PASIR MAS: “Sebaik dimaklumkan Ziad terkena petir, saya terus bergegas ke kawasan bendang dan memangku badannya, namun ketika itu anak saya sudah meninggal dunia,” kata Abdul Hadi Abdul Ghani, 60.

Abdul Hadi adalah bapa kepada pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Ziad Zikri, 14, yang maut disambar petir ketika memancing di kawasan bendang di Kampung Tasek Berangan jam 4.30 petang tadi.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Hadi berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumahnya dan mengetahui anak bongsu daripada lima beradik itu keluar memancing bersama rakan dan sepupunya.

“Namun saya terkejut apabila anak saudara yang turut memancing bersama Ziad berlari pulang dan memaklumkan anak dipanah petir.

“Kami terus bergegas ke lokasi kejadian kira-kira dua kilometer (km) dari rumah. “Ketika itu anak saya yang lain sudah sampai dan cuba membangunkan Ziad kerana menyangkakan dia hanya pengsan.

“Saya terus memangku Ziad, tetapi dia sudah tiada. Kami membawanya ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk pengesahan kematian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, malam ini.

Katanya, kejadian yang berlaku sangat mengejutkan kerana anaknya keluar dari rumah jam 4 petang dalam keadaan sihat sebelum dibawa pulang dengan jasad yang sudah tidak bernyawa.

“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian yang berlaku kerana menganggap ini takdir Allah.

“Apa yang saya boleh katakan Ziad seorang anak yang sangat baik dan mendengar kata selain ceria serta suka membantu keluarga.

“Malah hobinya setiap petang adalah memancing ikan dan menangkap burung,” katanya yang arwah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang, di sini.

Abdul Hadi berkata, anaknya bersekolah seperti biasa dan sempat ke kelas mengaji sebelum pergi memancing.

“Malam tadi kami sempat berbual dan saya berpesan kepada Ziad supaya rajin ke kelas mengaji untuk bekalan akhirat.

“Sebelum ini pun dia pergi mengaji, tetapi hanya sesekali dan perlu disuruh, namun hari ini dia pergi tanpa perlu disuruh selepas pulang dari sekolah,” katanya.

Katanya, jenazah anaknya akan dikebumikan pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top