'Kami setiap hari akan cari abah… harap abah dapat ditemui segera'

'Kami setiap hari akan cari abah… harap abah dapat ditemui segera'

am@hmetro.com.my

Sungai Buloh: “Saya dan abang sangat risaukan keadaan abah yang hilang tanpa khabar sejak seminggu lalu. Abah ada kad orang kurang upaya (OKU) masalah mental, malah dia juga kurang sihat selepas diserang angin ahmar dan berjalan menggunakan bantuan tongkat,” kata Ahmad Firdaus Ahmad Kusyairi.

Ahmad Firdaus, 23, adalah anak kepada, Ahmad Kusyairi Abd Rashid, 49, yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas dipercayai keluar dari bilik sewanya di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, di sini sejak 18 Disember lalu.

Ahmad Firdaus berkata, sebelum ini bapanya menetap bersama datuk dan neneknya namun atas beberapa faktor dia serta abangnya terpaksa memindahkan bapa ke bilik sewa berhampiran rumahnya sejak 16 Disember lalu dan akan memantau keadaannya.

“Kami selalu berhubung dengan abah melalui WhatsApp dan sebelum pergi kerja juga saya akan hantar makanan kepadanya. Abah beritahu dia mahu ke kedai pada 11.25 malam, 17 Disember lalu dan saya sudah melarang kerana bimbangkan keselamatannya.

“Pada pagi keesokannya saya mesej abah tanya khabarnya tetapi dia hanya balas pada tengah hari dan beritahu dia sesat. Ketika itu saya sedang bekerja dan berikan alamat bilik sewa. Saya kemudian mesej abah lagi tetapi mesej itu hanya satu ‘tick’ saja.

“Pada Jumaat lalu saya pergi rumah abah nak hantar makanan tetapi abah tiada, pada mulanya ingatkan dia ke surau dan apabila saya datang lagi abah tetap tiada di rumah dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi.

“Saya tak tahu abah keluar dengan apa tapi penyewa bilik lain ada beritahu dia dengar bunyi kereta selepas subuh dipercayai untuk ambil abah,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Pembantu kedai itu berkata, sebelum ini bapanya memang selalu keluar rumah dan akan pulang semula namun apabila lelaki itu masih tidak pulang serta usaha mencarinya juga masih gagal, dia membuat laporan polis pada Ahad lalu untuk tindakan lanjut.

“Kami setiap hari akan mencari abah tapi sehingga kini masih belum ada sebarang pentunjuk keberadaannya. Ada seorang pak cik beritahu yang abah beritahunya dia mahu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semak bantuan yang dimohon.

“Adik-beradik abah juga berusaha mencari abah tetapi masih belum jumpa. Saya dan abang terlalu risaukan keadaan abah, lebih-lebih lagi abah tak sihat dan diserang angin ahmar sejak lebih setahun lalu.

“Kami bimbangkan keselamatan abah, makan dan minumnya serta di mana abah tidur ketika ini. Saya berharap abah dapat ditemui dengan segera,” katanya memberitahu ibu bapanya sudah berpisah dan dia tinggal bersama ibu, manakala abang sudah berkeluarga.

Ahmad Firdaus berkata, mereka kini masih berusaha mencari bapanya termasuk meminta bantuan rakan penghantar makanan untuk menguar-uarkan kehilangan abah serta berkongsi di Facebook.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung Ahmad Kusyairi boleh menghubungi Ahmad Firdaus di talian 011-51561240 selain tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Saujana Utama, Fuzi Kamazan di talian 012-3818167.

Semalam media melaporkan, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang di Bandar Puncak Alam, Selangor, di sini, sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dipetik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan individu terbabit jam 9.36 pagi, Ahad lalu

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top