Kami tidak mahu terikat dengan satu genre – J Zainal

SETAPAK: Pemuzik dan penerbit, J Zainal, mendedahkan bahawa dia bersama kumpulannya, Akta Tribunal, enggan mengehadkan identiti muzik mereka kepada alternatif rock semata-mata tetapi mahu mencuba pelbagai variasi muzik lagi untuk diperdengarkan kepada pendengar.

J Zainal berkata, dia melihat perkembangan penyanyi berkumpulan luar negara seperti Turnstile dari Baltimore tidak lagi terhad kepada genre tegar atau ‘hardcore’, tetapi mereka juga telah mencuba genre muzik pop.

Katanya, perkembangan itu menjadi pemangkin kepada Akta Tribunal sendiri untuk mencuba pelbagai genre untuk pendengar.

“Kalau di Barat dan negara-negara lain, band tidak lagi tertakluk kepada satu identiti sahaja kerana mereka sudah banyak cuba bermacam genre. Kita boleh lihat contoh paling ketara seperti Turnstile dari Baltimore yang mula daripada hardcore tetapi kini beralih ke arah pop.

“Mereka sudah cuba pelbagai genre dan banyak band zaman ini yang tidak lagi terikat pada satu genre sahaja. Kami memang bermain muzik rock, tetapi kami tidak menetapkan yang kami akan main rock semata-mata,” katanya.

J Zainal berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media pelancaran solo terbarunya berjudul Beralun, di Hertz and Studio Megatone Music, Setapak, semalam.

Menjelaskan mengenai status kumpulannya, J Zainal berkata, dia merupakan penyanyi solo tetapi tampil membuat persembahan secara berkumpulan bersama Akta Tribunal.

Dalam pada itu, bagi mengubat kerinduan pendengar, dia bersama kumpulannya bakal mempersembahkan variasi lagu baharu dan lama pada persembahan ‘showcase’ akan datang.

“Saya merupakan penyanyi solo yang mempunyai band sendiri. Sama konsepnya juga seperti Azlan and Typewriter.

“Untuk showcase nanti, kami bakal membawakan 10 buah lagu untuk menghiburkan peminat. Ada lagu-lagu lama saya yang akan dimainkan semula di atas pentas. Banyak permintaan daripada peminat yang minta saya menyanyikan semula lagu-lagu berkenaan,” katanya.

Mengenai solo kelimanya itu, Beralun, lagu ini menyentuh sikap segelintir individu yang mudah melontarkan pandangan, menunjukkan rasa bijak pandai serta keberanian di sebalik telefon atau komputer, sedangkan perkara sama mungkin tidak dilakukan ketika berhadapan secara bersemuka.

Beralun bakal menjadi antara lagu yang dimuatkan dalam album sulung J Zainal yang dijangka siap pada 2027. -UTUSAN

 

Scroll to Top