Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus menjadi perhatian apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil mempertahankan pendirian tersebut.
Keputusan dibuat berdasarkan prinsip parti
Menurut kenyataan di media sosial penyandang kerusi DUN Machap itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan prinsip parti serta mengambil kira suara majoriti rakyat Johor, walaupun beliau mengakui langkah tersebut mungkin sukar diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mengambil maklum pandangan YAB Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Namun, adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” katanya.
“Kami tak sombong”
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dibuat atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
Beliau menyatakan, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak pernah menolak sebarang pandangan atau bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara,” tulisnya lagi.
Johor bantu lengkapi usaha kerajaan pusat
Onn Hafiz menambah, kerajaan negeri selama ini turut membantu melengkapi pelbagai usaha kementerian Persekutuan walaupun perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
Katanya, bantuan tahunan diberikan kepada bilik guru dan sekolah selain sokongan kepada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), ibu pejabat polis daerah (IPD) serta kem tentera.
“Kerajaan Negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.
“Malah, apabila hasil negeri meningkat, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor,” katanya.
Sumber: Facebook Onn Hafiz Ghazi






