'Kampung Sungai Baru bukan kawasan Lembaga Pentadbiran MAS'

'Kampung Sungai Baru bukan kawasan Lembaga Pentadbiran MAS'

farahnarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) menafikan dakwaan Kampung Sungai Baru termasuk dalam kawasan Kampung Baru.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran MAS Kampung Baru, Shamsuri Suradi, berkata pihaknya mempunyai dokumen lengkap dan rekod rasmi yang membuktikan Kampung Sungai Baru bukan sebahagian daripada tanah yang diwartakan di bawah pengurusan MAS.

“Tanah di Kampung Baru diberikan khusus kepada orang Melayu dan direkodkan di dalam pendaftaran penempatan.

“Bermula 1900 hinggalah pendaftaran terakhir pada 1945. Jadi kita rekodkan, malah pejabat tanah pun tiada dokumentasi ini,” katanya pada sidang media majlis kesyukuran Lembaga Pentadbiran MAS di sini, hari ini.

Semalam, Peguam Lawyers for Liberty (LFL) dan Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran mendakwa kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyatakan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur bukan tanah rizab Melayu adalah salah daripada segi fakta dan perundangan.

Surendran dilaporkan berkata keseluruhan 220 hektar tanah di Kampung Baru, termasuk Kampung Sungai Baru sebagai sebahagiannya telah diisytiharkan sebagai MAS melalui Warta No 1550 bertarikh 16 Februari 1932.

Menceritakan susur galur kewujudan Kampung Sungai Baru, Shamsuri berkata, kawasan itu dibina oleh Datuk Harun Idris.

“Bagi mengelakkan banjir yang berlaku pada ketika itu, maka, sungai berkenaan diluruskan.

“Selepas ia diluruskan, maka disitulah, pada ketika itu Datuk Harun membina Kampung Sungai Baru,” katanya.

Tambahnya lagi, semua tanah di Kampung Baru adalah pemilikan tetap.

“Tapi lot tanah di Kampung Sungai Baru adalah pajakan selama 99 tahun.

“Oleh itu, pihak yang mendakwa Kampung Sungai Baru adalah di bawah MAS, maka, mereka perlu membuktikan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mencadangkan supaya penduduk berbincang dengan pihak pemaju bagi menyerahkan projek pembangunan di Kampung Sungai Baru kepada syarikat yang lebih dipercayai mereka.

Jelasnya, saranan itu bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap usaha pembangunan berkenaan, sekali gus mempercepatkan urusan projek berkenaan.

Polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan diperoleh.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top