Kanak-kanak 3 tahun maut terjatuh lubang di Jambatan Victoria

am@hmetro.com.my

Sungai Siput: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada ketinggian lima meter di Jambatan Victoria, Enggor di Kuala Kangsar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 6 petang semalam itu, Abdul Rafee Abdul Halim, 3, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar pada 7.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Charan Ai Wan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama bapanya yang berusia 42 tahun sedang berjalan di atas jambatan bersejarah terbabit.

“Mangsa bersama dengan bapanya berjalan di atas jambatan itu sambil memegang tangan sebelum terjatuh pada ketinggian lima meter di satu lubang pada jambatan berkenaan.

“Sejurus jatuh di atas jalan berturap yang terdapat di bawah jambatan, mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital sebelum dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan keluarganya yang berasal dari Kluang, Johor datang bercuti bersama keluarga ke Jambatan Victoria, Kuala Kangsar.

Sementara itu, tinjauan di lokasi hari ini mendapati jambatan ikonik berkenaan ditutup kepada pelancong atas faktor keselamatan apabila kawasan kejadian dipasang dengan pita larangan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta polis.

Tinjauan mendapati jambatan itu yang dahulunya digunakan untuk laluan kereta api kini sangat uzur apabila hampir semua bahagian bongkah atau kayu melintang di bawah rel yang menjadi bantalan landasan sudah mereput termasuk di kawasan mangsa terjatuh.

Seorang peniaga gerai berhampiran lokasi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nyah berkata, suami serta menantunya yang ketika itu menjaga gerai itu terdengar bunyi kuat.

Menurutnya, pada mulanya disangkakan bunyi beg terjatuh sebelum terkejut kerana ia sebenarnya kanak-kanak jatuh dari tempat tinggi.

“Saya juga ada berhampiran tetapi yang benar-benar melihat budak itu jatuh adalah menantu serta suami saya, di mana suami saya adalah antara yang terawal meluru ke arah kanak-kanak itu untuk membantu.

“Memandangkan semalam adalah hari cuti umum sempena Hari Kebangsaan, jadi memang ramai pelancong termasuk yang membawa anak kecil ke Jambatan Victoria untuk merakam gambar kenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top