am@hmetro.com.my
Jitra: Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan autisme sejak pagi tadi akhirnya terjawab apabila jasadnya ditemui dalam kolam takungan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas, di sini hari ini.
Terdahulu, usaha pencarian kanak-kanak terbabit, Mya Khadeeja Suraidi, 6, dilakukan ahli keluarga termasuk menular maklumat kehilangannya di media sosial.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mangsa pada jam 4.26 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Ahmad Nazril Ab Rahman tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Komander Operasi melaporkan, setibanya fi lokasi kejadian, terdapat seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemui terapung di permukaan air dalam kolam takungan itu.
“Pasukan keluaran operasi memakai pakaian PPE lengkap dan turun serta membawa mangsa ke tempat selamat.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, sepasukan anggota Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu daripada mangsa sebelum ditemukan lemas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




