am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas disengat ikan ketuka iaitu spesies ikan pari kecil di Pantai Tanjung Asam, Gerak Sanggul, di sini, petang semalam.
Ibunya, Siti Aishah Zainal Abidin, 37, berkata, Zaeed Khan Wazir Khan tiba-tiba menjerit kesakitan ketika mandi di pantai berkenaan dan pada awalnya dia menyangka anaknya terkena batu tajam kerana darah agak banyak mengalir keluar dari kaki kanan kanak-kanak itu.
“Dia tak boleh bangun langsung dan menjerit sakit dan kata kakinya pedih. Suami saya cepat-cepat angkat naik ke darat kemudian bawa ke klinik berhampiran dan selepas lukanya dicuci, doktor nasihat supaya terus hantar ke HPP.
“Sepanjang perjalanan dia meraung dalam kereta. Kakinya langsung tidak boleh disentuh. Petang ini dia sudah dipindahkan dari wad kecemasan ke wad biasa dan keadaannya masih dipantau pihak hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Siti Aishah berkata, mereka sekeluarga sudah biasa mandi pantai empat hingga lima kali dalam setahun dan ketika insiden jam 6.30 petang itu berlaku, ramai ibu bapa lain membawa anak mereka beriadah pada musim cuti sekolah.
Menurutnya, Zaeed pernah disengat ubur-ubur kerana sering mengikuti bapanya, Wazir Khan Abdul Wahab, 40, memancing dan anaknya tahu itu bukan sengatan ubur-ubur dan mengalami kesakitan lebih teruk dan luar biasa.
Dia berkata, anak tunggalnya turut menyatakan dia terpijak sesuatu yang menepati ciri-ciri ikan ketuka dengan duri ikan itu patah dan terbenam di kaki anaknya ketika kejadian itu berlaku.
“Kami juga ada kawan nelayan dan mereka kata, antara sembilang dan ubur-ubur, ikan ketuka sahaja yang bermain di pesisiran pantai semasa air surut jadi saya harap orang ramai yang datang mandi di situ berhati-hati.
“Anak saya masih dirawat di HPP dan mengalami demam, buat masa ini bisa belum dapat dikeluarkan sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video serta gambar kanak-kanak berkenaan meraung kesakitan akibat terkena sengatan ikan ketuka di media sosial.
Hantaran dimuat naik ahli keluarga mangsa dalam kumpulan WhatsApp Teluk Kumbar dengan kapsyen memberi peringatan kepada ibu bapa lain agar berwaspada susulan kejadian menimpa anak mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




