Kansas City: Kapten England, Harry Kane menggesa rakan sepasukannya supaya segera menenangkan emosi dan memberi tumpuan kepada pemulihan selepas kemenangan dramatik ke atas Mexico sebelum mengharungi ujian lebih getir menentang Norway pada suku akhir Piala Dunia.
England mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan tuan rumah bersama, Mexico 3-2 walaupun beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan penuh mendebarkan di Stadium Azteca.
Kini kembali ke kem latihan di Kansas City, skuad bimbingan Thomas Tuchel diberikan sedikit masa untuk berehat sebelum membuat persiapan menghadapi Norway yang diketuai Erling Haaland di Miami, awal pagi Ahad ini.
“Kami sudah mara ke pusingan seterusnya. Ia malam yang luar biasa dan kami amat menghargai sokongan penyokong, sama ada yang berada di stadium atau berjaga malam di tanah air.
“Hubungan kami dengan penyokong kini lebih kuat berbanding sebelum ini.
“Sekarang kami perlu pulih, bertenang, berehat beberapa hari dan kemudian membuat persiapan bagi aksi suku akhir yang sangat besar,” kata Kane menerusi video di media sosial.
Penyerang Bayern Munich berusia 32 tahun itu berkata kemenangan ke atas Mexico adalah antara detik paling bermakna sepanjang kariernya bersama England.
“Suasana di stadium itu sangat istimewa. Semua orang teruja dapat bermain dalam perlawanan bersejarah di venue ikonik seperti Azteca.
“Untuk mengharungi segala cabaran dalam perlawanan itu, berjuang sehingga ke penghujung dan melihat semua pemain mengorbankan segala-galanya di atas padang, ia sesuatu yang luar biasa.
“Tanpa ragu-ragu, ini adalah antara perlawanan kegemaran saya bersama England,” katanya.
Kane yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti kini mengumpul enam gol pada Piala Dunia, hanya satu jaringan di belakang pendahulu senarai penjaring, Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Haaland yang masing-masing meledak tujuh gol.
Pertemuan dengan Norway turut menyaksikan Kane bakal berdepan Haaland dalam perebutan Kasut Emas kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




