Kanzun-ARCB Growth Fund sasar syarikat kesihatan tempatan ke pasaran global

Kuala Lumpur : Syarikat kesihatan tempatan yang berpotensi ke pasaran antarabangsa kini menjadi sasaran utama Kanzun-ARCB Growth Fund, sebuah platform pelaburan baharu yang menghimpunkan kepakaran modal, transaksi dan teknologi kesihatan.

Platform ini dibangunkan menerusi kerjasama tiga pihak membabitkan syarikat pelaburan dan modal strategik berpangkalan di Dubai, ARCB Investment LLC (ARCB), Kanzun Ventures Management Sdn Bhd (Kanzun) serta Healthcare Triangle Inc. (HCTI) selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), di sini pada Jumaat.

Menerusi model ini, syarikat tempatan yang dipilih bukan sahaja dinilai daripada segi potensi pelaburan, malah diperkukuh dari sudut tadbir urus, teknologi dan keupayaan menembusi pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ARCB Group, Dr Udesh Chaskar, berkata kewujudan dana itu selari dengan usaha firma berkenaan memperluas operasi di ASEAN, selepas menubuhkan kehadiran Asia Pasifik di Kuala Lumpur pada April lalu.

Menurutnya, Malaysia mempunyai banyak syarikat kesihatan yang diasaskan usahawan tempatan dan telah membina asas perniagaan yang kukuh.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian syarikat berkenaan masih memerlukan modal institusi, tadbir urus serta rangkaian antarabangsa untuk membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya.

“Kerjasama dengan Kanzun dan Healthcare Triangle membolehkan kami membina lebih daripada sebuah dana, sebaliknya mewujudkan koridor yang menghubungkan syarikat kesihatan Malaysia dengan modal dari Timur Tengah dan seterusnya pasaran modal Amerika Syarikat,” katanya.

ARCB akan bertanggungjawab mendapatkan sumber pembiayaan menerusi rangkaian pejabat keluarga, pelabur institusi dan rakan strategik di Timur Tengah, Asia serta pasaran antarabangsa.

Di Malaysia, Kanzun akan mengurus proses pelaburan dan transaksi, termasuk mengenal pasti peluang, melaksanakan usaha wajar, membuat penilaian serta membangunkan syarikat dalam portfolio.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kanzun Ventures Management Sdn Bhd, S. Loganathan berkata, syarikat penjagaan kesihatan tempatan mempunyai ruang untuk berkembang lebih jauh sekiranya mendapat sokongan modal pertumbuhan dan struktur perniagaan yang bersesuaian.

Beliau berkata, pengukuhan tadbir urus dan penerapan teknologi turut penting bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan skala serta bersedia memasuki pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Healthcare Triangle Inc., Dr V. Suresh, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan ARCB dan Kanzun dalam menilai peluang yang wujud dalam sektor kesihatan Malaysia.

Menurutnya, penilaian itu turut merangkumi potensi penggunaan teknologi serta persediaan syarikat untuk mengakses pasaran modal AS.

Dari segi skop, dana itu menyasarkan beberapa segmen utama, antaranya perkhidmatan kesihatan, estetika dan kesejahteraan, peranti perubatan, pengedaran produk kesihatan serta teknologi kesihatan dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Sebarang pelaburan atau pengambilalihan akan dipertimbangkan berdasarkan proses usaha wajar kewangan dan perundangan, penilaian serta audit, selain tertakluk kepada kelulusan berkaitan dan perjanjian transaksi muktamad.

ARCB yang ditubuhkan pada 2022 mempunyai mandat pelaburan dalam 10 sektor, termasuk tenaga, air, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian, industri, pelancongan, sukan, teknologi dan hartanah komersial.

Kanzun-ARCB Growth Fund menjadi platform pertama ARCB di ASEAN, dengan firma itu turut merancang meneroka kerjasama serta platform pelaburan khusus sektor lain di rantau berkenaan berdasarkan perkembangan rangkaian pelaburannya.

Ketiga-tiga pihak kini akan meneruskan proses mengenal pasti dan menilai peluang dalam sektor kesihatan Malaysia sebelum peluang yang sesuai dipadankan dengan rangkaian pelabur di peringkat serantau dan antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top