MELAKA: Kehadiran lima kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pameran pelbagai aset pertahanan dijangka menjadi antara tarikan utama Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Dataran 1 Malaysia, Klebang pada 31 Ogos ini.
Lima kapal perang berkenaan ialah KD Lekir, KD Terengganu, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Gempita dan KD Sri Indera Sakti tiba di perairan berhampiran Klebang kira-kira pukul 8 pagi dan berlabuh kira-kira dua batu nautika dari pantai di Klebang.
Menurut Sekretariat Kementerian Pertahanan, orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat lima kapal perang TLDM itu menerusi perkhidmatan bot yang disediakan di jeti bermula esok hingga 31 Ogos.
Katanya, sebanyak empat sesi perjalanan bot disediakan setiap hari iaitu pada pukul 8.30 pagi, 9.45 pagi, 11 pagi dan 12 tengah hari.
“Bagaimanapun, hanya beberapa orang sahaja yang terpilih untuk dibenarkan menaiki salah satu daripada lima kapal perang berkenaan.
“Kami terpaksa membuat tapisan bagi mereka yang layak menaiki salah satu kapal perang itu atas faktor keselamatan dan slot tersebut telah dipenuhi namun mereka yang lain akan dibawa mengelilingi kelima-lama kapal perang itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selain kapal perang TLDM, orang ramai turut berpeluang melihat pelbagai aset ketenteraan yang dipamerkan sepanjang sambutan berkenaan.
Katanya, antara aset yang dipamerkan ialah meriam 155mm G5 MKII, kenderaan Supacat 6×6 All Terrain Mobile, Rapid Ranger Missile Starstreak, kereta kebal PT-21M Pendekar serta kenderaan HMAV 4×4 Lipan Bara.
“Pameran aset berkenaan dijangka memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat keupayaan serta teknologi yang digunakan oleh pasukan pertahanan negara,” ujarnya.
Jelasnya, tidak terhad kepada pameran statik, pelbagai demonstrasi ketenteraan turut disediakan bagi memeriahkan sambutan yang berlangsung dari hari Sabtu hingga Isnin itu. –UTUSAN

