TEHERAN: Sebuah kapal tentera laut terbesar Iran karam selepas terbakar ketika menyertai misi latihan di sebuah pelabuhan di Teluk Oman, manakala sebuah loji penapis minyak turut terbakar di selatan Teheran.
Dalam kejadian di teluk itu, kapal Kharg buatan Britain, yang berukuran lebih 200 meter, terbakar Selasa lalu.
Satu rakaman disiarkan di televisyen tempatan juga menunjukkan asap tebal dan didakwa berpunca daripada kebakaran kapal.
Tentera laut dalam satu kenyataan mengesahkan kebakaran bermula daripada satu sistem kapal namun tidak mengulas lanjut.
Pihak bomba mengambil masa lebih 20 jam memadamkan kebakaran, sebelum kapal itu karam.
“Mengambil kira kebakaran yang merebak, misi untuk menyelamatkan Kharg gagal dan ia karam di perairan Jask,” menurut kenyataan itu.
Kebakaran itu difahamkan berlaku pada 11 pagi waktu tempatan, Selasa lalu ketika berada di perairan negara dalam misi latihan.
Sementara itu agensi berita Iran, Tasnim yang memetik ketua perhubungan awam tentera laut, Behzad Jahanian berkata, tragedi kapal karam itu berlaku sekitar 8.30 pagi waktu tempatan semalam dan kesemua 400 kadet dan kru selamat dengan hanya 20 cedera ringan atau melecur.
Sementara itu, dalam kejadian kebakaran loji penapis minyak pula, ia dikatakan berpunca akibat kebocoran saluran gas cecair yang mencetuskan letupan.
Ia mengakibatkan kebakaran besar dan asap hitam yang boleh dilihat jauh di bandar namun AFP menyatakan, kebakaran itu berjaya dikawal beberapa jam selepas itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
