zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengehadkan kapasiti penumpang bagi semua mod perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut, hingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum, berkuat kuasa Selasa depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu diambil susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik COVID-19 di negara ini.
Namun, katanya, perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan daripada peraturan itu berikutan kapasiti penumpang bagi perkhidmatan terbabit sudah rendah.
Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat penerbangan dan penumpang tetap perlu mematuhi SOP ketat ditetapkan MKN serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pengangkutan awam adalah perkhidmatan penting tetapi dalam tempoh ini, mengelakkan himpunan secara ramai dan mengurangkan pergerakan adalah perkara lebih utama.
“Justeru, Kementerian Pengangkutan amat berharap orang ramai dapat bersabar dan memahami situasi sukar ini, serta bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 di seluruh negara.
“Kementerian akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi mengurangkan ketidakselesaan pengguna dan orang ramai setakat yang boleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari ini, MKN mengumumkan kapasiti bagi pengangkutan awam membabitkan perkhidmatan bas awam, komuter, Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), dibenarkan mengikut 50 peratus kapasiti kenderaan, bawah sekatan tambahan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa Selasa depan, berbanding berdasarkan kapasiti kenderaan bawah SOP yang berkuat kuasa 12 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, agensi berkaitan bawah kementeriannya akan mengemas kini jadual perjalanan, termasuk mengehadkan kekerapan perkhidmatan.
“Pengguna pengangkutan awam digalak mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi dan media sosial penyedia perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, Ka Siong memaklumkan, setiap kenderaan penumpang dihadkan kepada tiga orang saja, iaitu seorang pemandu serta dua penumpang, termasuk bagi kenderaan bersaiz lebih besar seperti pacuan empat roda (4WD) dan van.
Selain itu, beliau berkata, semua pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau daerah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan berkaitan.
“Anggota penguat kuasa akan ditempatkan di stesen dan terminal pengangkutan awam bagi memastikan pematuhan SOP pencegahan COVID-19 serta memantau keadaan semasa bersama pihak keselamatan agensi yang berkaitan.
“Kementerian Pengangkutan sekali lagi menyeru pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan di semua stesen dan terminal, termasuk memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial selagi boleh serta mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




