hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Cheras: “Tidak kiralah karam ke tidak karam asalkan kami (boleh) menang,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh yang menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan umpama kapal Titanic yang hanya menunggu waktu untuk karam.
Ahmad berkata, beliau tidak terlalu memikirkan pandangan itu asalkan persefahaman yang dibentuk mampu membawa kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti.
Menurutnya, beliau percaya persefahaman antara BN dan PN mampu memberi kelebihan pada pilihan raya berkenaan.
“Itu kaedah, kami sudah tahu formula Melayu berpecah di Negeri Sembilan (kerana) DAP yang memerintah… kami sudah tahu formula itu. Saya Ketua Sekretariat War Room, kita semua ada data dan angka.
“Kalau kita berpadu antara dua parti kita kukuh dan akan menang. Ini yang mengkhuatirkan mereka. Mereka boleh bercakap apa saja kita tunggu 1 Ogos. Saya ada keyakinan bahawa UMNO BN akan memerintah bersama PN (di Negeri Sembilan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini, malam ini.
Ditanya jika kerjasama antara BN dan PN boleh dikekalkan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Ahmad berkata, perkara itu perlu dibincangkan namun apa yang penting ia perlu melihat hasil di Negeri Sembilan dan Melaka.
“Tetapi kita tengok dulu apa yang berlaku di Negeri Sembilan, selepas ini tengok apa berlaku di Melaka lagi. Take one step at a time (kita ambil satu langkah pada satu masa),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Hannah berkata, kerjasama antara BN dan PN disifatkan umpama kapal Titanic yang hanya menunggu waktu untuk karam.
Keadaan itu katanya, terjadi berikutan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan tidak dibina atas asas kepercayaan dan kesetiaan politik.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN dan PN mencapai persefahaman untuk mengelak pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi persefahaman itu, BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN bertanding di 11 kerusi.
Gabungan itu berdepan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di semua 36 kerusi, selain BERSATU yang meletakkan calon di 24 DUN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




