Polis sahkan tiada unsur jenayah kes remaja jatuh tingkat 68 Komtar

Polis sahkan tiada unsur jenayah kes remaja jatuh tingkat 68 Komtar

am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian remaja lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat mangsa yang berusia 18 tahun itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan hampir keseluruhan anggota badannya juga mengalami kecederaan serius akibat impak jatuh dari tempat tinggi.

“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan di dalam kejadian ini. Susulan itu satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rozak berkata, mangsa adalah warga tempatan yang tinggal di Lebuh Macallum.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa dipercayai jatuh dari aras tinggi sebelum mayatnya ditemukan berpakaian lengkap di atas bumbung aras enam bangunan itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira jam 4 petang.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, pihaknya dipanggiAl bagi melakukan tugas khas mengeluarkan mangsa dari lokasi menerusi tali dan juga menggunakan pengusung.

Ketika mayatnya ditemukan, pihaknya turut menjumpai tiket masuk ke taman tema dalaman (indoor theme park) manakala pergelangan tangannya juga memakai memakai pas masuk ke taman tema itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top