am@hmetro.com.my
Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian dan jabatan berkaitan menangani keluhan pengusaha restoran di negara ini, berhubung kekurangan tenaga kerja.
Justeru beliau memberi masa sebulan sebagai tempoh maksimum untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Anwar mengakui terdapat keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan pekerja dalam sektor tertentu, termasuk restoran.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak boleh membuka ruang sepenuhnya kepada kemasukan pekerja asing hanya bagi mengisi kekosongan tenaga kerja kerana negara sudah mempunyai jumlah pekerja asing yang ramai, termasuk dalam kalangan yang tidak berkemahiran.
“Saya dengar keluhan pengusaha restoran mengenai masalah tenaga kerja, dan kita tak boleh buka ruang sepenuhnya semata-mata untuk mengisi kekosongan dalam negara yang terlalu ramai pekerja asing, termasuk yang tidak berpendidikan.
“Tetapi saya setuju, ada keperluan mendesak mengisi kekosongan pekerja di lapangan tertentu, termasuk restoran.
“Jadi, mulai Isnin, saya bagi tempoh kepada kementerian dan jabatan berkenaan, selesaikan keutamaan ini dalam tempoh satu bulan maksimum, mesti selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran ‘Indian Muslim Transformational Framework’ (IMTF) 2030 oleh Pertubuhan Gabungan Mukmin Nasional (MUKMIN) di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, malam ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi MUKMIN Datuk Shahul Dawood.
Pada majlis itu, Anwar meluluskan bantuan RM2 juta untuk kebajikan dan pendidikan anak-anak MUKMIN yang memerlukan.
Dalam ucapannya, Anwar turut memaklumkan kerajaan sentiasa bersedia mendengar dan meneliti isu dibangkitkan masyarakat India Muslim, termasuk berkaitan peluang pekerjaan, pinjaman, pendidikan, perniagaan dan perumahan.
Beliau mengakui masih terdapat kelompok masyarakat yang berasakan mereka terpinggir, justeru pandangan serta cadangan dikemukakan perlu diberi perhatian bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan.
“Sebab itulah saudara-saudara harus mengemukakan pandangan dan kita perbaiki. Saya tidak pernah menganggap saya sudah buat yang sebaiknya dan sudah sempurna. Saya tahu kelemahan saya dan saya belajar.
“Ada hal-hal yang spesifik dibangkitkan. Soal pinjaman, peluang pekerjaan, saya akan beri perhatian,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah mendengar keluhan rakyat tanpa menafikan hak mana-mana kaum serta memastikan bantuan disalurkan secara adil mengikut keperluan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus bekerjasama bagi mengangkat martabat negara dengan semangat saling membantu, kasih sayang dan perpaduan demi memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni.
© New Straits Times Press (M) Bhd




