Karl Shafek Himpun 300 Sukarelawan, Kumpul 2 Tan Sampah di Pantai Tanjung Gosong

Karl Shafek Himpun 300 Sukarelawan, Kumpul 2 Tan Sampah di Pantai Tanjung Gosong

Usaha memupuk semangat cintakan alam sekitar dan kampung halaman berjaya dizahirkan melalui penganjuran program komuniti pertama Gerakan Pekan Molek, Gotong Royong Sakan.

Program yang diasaskan oleh pengacara Karl Shafek Ibrahim itu menyaksikan hampir dua tan sampah berjaya dikutip di Pantai Tanjung Gosong, Pekan. Lebih 300 sukarelawan, terdiri daripada belia dan penduduk setempat, berganding bahu dalam acara pembersihan berskala besar tersebut.

Menggunakan pengaruh media sosial, Karl yang juga merupakan pengasas jenama fesyen jalanan Neonate Clothing Company berjaya menggerakkan ratusan orang untuk turut serta.

“Saya kerap berada di Pekan sejak Aidilfitri lalu kerana menjaga ayah yang uzur. Apabila melihat keadaan Pantai Tanjung Gosong yang cantik tetapi tercemar dengan sampah, saya terpanggil untuk bertindak.

“Saya gunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menyeru sesiapa yang ada kesedaran agar bersama-sama membersihkan pantai ini. Tak sangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan,” ujarnya.

Gotong Royong Sakan berlangsung pada Selasa, 16 September 2025, bermula 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan sokongan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja serta Ahli Dewan Undangan Negeri (N21) Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah tajaan pasar raya Pantai Selamat dan Fresh Choice.

“Saya sangat gembira kerana peserta hadir bukan semata-mata kerana hadiah, tetapi kerana kesedaran menjaga kebersihan alam kurnia,” kata Karl.

Acara ini turut mendapat kerjasama Kelab Anak Muda Perbandaran Pekan dan KRT Pantai Tanjung Gosong.

Ia bukan sahaja menjadi wadah untuk merapatkan hubungan antara belia serta sukarelawan dari dalam dan luar Pekan, malah turut disertai jemputan khas seperti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan, Mohd Nasir Jusoh, artis tanah air termasuk Noorkhiriah dan Ieda Moin, selain wakil media.

Scroll to Top