Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak menjadi tumpuan apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Bijak Tenaga (KBT) 2026 yang julung kali dianjurkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun ST pada 25 dan 26 Julai 2026.
Bertujuan tingkatkan kesedaran tentang penggunaan tenaga
Penganjuran karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan tenaga secara cekap, selamat dan bertanggungjawab.
Dalam pada masa sama, ia turut memperkukuh literasi tenaga dalam kalangan orang awam, meningkatkan kefahaman mengenai peranan ST sebagai badan kawal selia sektor elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam menyokong pembangunan tenaga yang mampan.

Guna konsep ‘edutainment’ mudahkan orang ramai faham
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Seri Asri Hamidon, pendekatan santai menerusi konsep ‘edutainment’ dipilih bagi memudahkan orang ramai memahami kepentingan tenaga dalam kehidupan seharian.
“Penganjuran KBT ini bertujuan untuk mendekati dan memberi peluang kepada setiap lapis masyarakat untuk mengenali dan memahami fungsi kami selaku badan kawal selia sektor elektrik dan gas berpaip negara serta perkembangan sektor tenaga negara dalam bentuk yang santai,” ujarnya.
Beliau menambah, program selama dua hari itu bukan sahaja memberi ilmu, malah turut menghiburkan seisi keluarga.
“Kita mahu memupuk kesedaran mengenai kecekapan dan keselamatan tenaga dan peralihan tenaga melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya lagi.
Bawa mesej penting penggunaan tenaga berhemah
Majlis perasmian Karnival Bijak Tenaga 2026 disempurnakan Menteri Besar Perak yang telah diwakili oleh Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
Turut hadir di majlis perasmian, Timbalan Ketua Setiausaha PETRA, Mareena Mahpudz dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Siti Shafinah Salleh.
Dalam ucapannya, beliau berkata tema “Moh Kome, Bijak Guna Tenaga!” dipilih kerana dekat dengan masyarakat Perak dan membawa mesej penting mengenai penggunaan tenaga secara berhemah.
“Saya difahamkan pelbagai tip diberikan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga mengenai konsep kecekapan tenaga melalui amalan seharian tanpa mengorbankan keselesaan kita sebagai pengguna.
“Dalam masa yang sama, karnival ini turut memfokuskan kepada keselamatan elektrik dan gas berpaip.
“Kita mahu memastikan setiap keluarga di Perak mendapat pendedahan yang betul bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku ke atas keluarga dan harta masing-masing,” katanya.
Antara yang menjadi tarikan semasa di ruang pameran dan aktiviti interaktif Karnival Bijak Tenaga 2026 adalah reruai pameran Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA)yang mempromosikan inisiatif Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) kepada pengunjung yang hadir.
NUR@PETRA menawarkan rebat RM200 bagi pembelian pendingin hawa dan peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai penarafan empat atau lima bintang olehSuruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).
Bagi tahun 2026, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 160,000 unit rebat bernilai RM32 juta untuk pelaksanaan program ini di mana tawaran bagi insentif rebat RM200 ini telah bermula sejak 1 Julai 2026 yang lalu.
NUR@PETRA jimatkan kos beli peralatan elektrik
Pengunjung, Nur Nadirah Roslan, 35 yang singgah di reruai yang menghebahkan berkaitan NUR@PETRA menyatakan, program tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembelian peralatan elektrik, malah dapat menjimatkan penggunaan tenaga dalam jangka waktu yang agak panjang menerusi penggunaan perkakas elektrik seperti peti sejuk dan penghawa dingin yang cekap tenaga.
“Program ni memang bagus sebab dapat kurangkan beban perbelanjaan dan pada masa yang sama galakkan orang ramai guna peralatan yang lebih menjimatkan tenaga,” ujarnya.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif, siri pocket talk, sesi Kahoot dan kuiz, cabutan bertuah, pertandingan akhir Pencarian Wira Bijak Tenaga 2026 serta demonstrasi masakan menggunakan peralatan cekap tenaga berlabel ST-SIRIM.
Kemuncak karnival dimeriahkan dengan persembahan artis dan sesi cabutan bertuah kepada pengunjung.






