am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Persiapan Karnival Jom Heboh (KJH) 2024 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, yang akan berlangsung esok berjalan lancar.
Tinjauan mendapati, peserta rancak menyiapkan susun atur di 160 reruai pelbagai kategori makanan popular, hartanah dan perkhidmatan dalam karnival tiga hari ini.
Antara yang terbabit dalam KJH kali ini ialah Yaya Empire, Puspakom, Red Bull, FGV, Affin Bank dan BABA’S yang turut menawarkan promosi beg berharga RM10 dan pemberian pek produk BABA’S secara percuma.
Pengarah Projek KJH 2024 Eileen Lim berkata, Johor adalah lokasi wajib penganjuran KJH setiap tahun dengan sasaran pengunjung seramai 300,000 orang.
Katanya, KJH di Johor kali ini juga menjadi lokasi pertama sesi uji bakat pencarian bakat nyanyian untuk program realiti nyanyian ikonik, ‘One In A Million’ (OIAM), selepas kali terakhir disiarkan di TV3 pada 2009.
“Johor dipilih sebagai lokasi pertama bagi sesi uji bakat pencarian bintang baharu. Sertai sesi uji bakat OIAM di lokasi pertama di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall ini pada 2 dan 3 November (esok dan lusa).
“Uji bakat secara bersemuka akan diteruskan lagi di lima lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya ditemui di lokasi KJH, semalam.
Menurut Eileen, BABA’S kembali memeriahkan KJH sebagai penaja utama untuk kali keempat.
Katanya, dengan pengiktirafan daripada The Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’, KJH menjadi satu fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia yang sentiasa menjanjikan keseronokan dan pelbagai aktiviti menarik seisi keluarga setiap tahun.
“Sepanjang tiga hari ‘berkampung’ di Johor Bahru, KJH menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya bakal mengukir memori indah.
“Pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik melalui reruai daripada Studio Tonton Drama Sangat (STDS) (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) (termasuk Harian Metro, New Straits Times, Berita Harian), Hot FM dan Vocket.
“Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dan berinteraksi dengan selebriti kegemaran di booth STDS. Booth ini bakal menampilkan barisan bintang terkenal yang membintangi program-program popular di Tonton, TV3 dan TV9.
“Antara wajah-wajah yang akan memeriahkan KJH BABA’S di Johor Bahru kali ini adalah Aniq Durar, Ashraf Muslim, Kodi Rasheed, Shah Iskandar, Nabila Razali, Wanns Ahmad, Nafiz Muaz dan ramai lagi,” katanya.
Selain itu, Eileen berkata, pelbagai makanan viral yang kini tular di media sosial turut dibawa pada KJH 2024 menerusi ‘Love Food Fest’.
Antaranya Lamb Shank Chef Ammar, Bakso Beranak by Vicha, Cikidot dan banyak lagi.
“Turut dianjurkan NSTP ‘Pet Zootopia’ yang menampilkan 30 jenis haiwan dan Kejohanan Bola Jalanan Vocket ‘2vs2’.
“Peserta berpeluang untuk membawa pulang wang sehingga RM500 berserta jersi edisi khas daripada Vocket. Layari https://bolajalanan.thevocket.com/ atau
imbas kod QR untuk mendaftar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd