am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Warga asing dikesan mengaku sebagai pekerja sedangkan adalah pemilik premus kepada perniagaan yang diusahakan secara ali baba dan tidak memiliki lesen sah di daerah ini.
Sejak Januari lalu hingga Oktober, sebanyak 25 premis dikesan tidak memiliki lesen perniagaan sah serta dimiliki warga asing di daerah ini.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Datuk Mohd Anis Hussein berkata, kebanyakan warga asing yang dikesan adalah Pakistan diikuti Bangladesh serta Acheh.
“Biasanya warga Pakistan mengusahakan kedai runcit manakala Acheh pula banyak membuka kedai buah-buahan.
“Mereka menggunakan premis milik atau atas nama warga tempatan untuk menjalankan perniagaan dan sejak Januari lalu, kita kesan 25 premis yang diusahakan warga asing ini tidak mempunyai lesen seterusnya dikenakan tindakan kompaun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Anis berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 17 permohonan lesen baharu ditolak disebabkan lokasi premis yang tidak sesuai.
Dalam operasi terbaharu pada 27 Oktober lalu, dua premis yang diusahakan warga Pakistan di sini dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki lesen serta gagal mempamerkan lesen perniagaan.
Menurut Mohd Anis, kedua-dua premis yang terletak di Binjai, dimiliki seorang wanita tempatan namun diusahakan suaminya yang juga warga Pakistan.
“Premis pertama yang menjalankan perniagaan barangan hiasan dalaman mempunyai lesen perniagaan MPKB-BRI yang sah namun gagal mempamerkan lesen itu.
“Manakala premis kedua pula menjalankan aktiviti menjual dan membaiki peti
sejuk serta mesin basuh namun tidak mempunyai lesen perniagaan MPKB-BRI.
“Tindakan kompaun dibuat terhadap wanita tempatan berusia 40-an dan barangan yang dijual itu akan disita jika pemiliknya gagal mendapatkan lesen bagi premis terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd