syafil.syazwan@hmetro.com.my
ATAS permintaan peminatnya, kumpulan rock rap, Pop Shuvit kembali menggegar dunia muzik tempatan dengan album terbaharu berjudul Phantom Frequencies.
Album ini bukan sahaja mencerminkan perjalanan masa yang meliputi pra-pandemik, ketika pandemik, dan pasca-pandemik, tetapi juga menampilkan semangat dan kehendak peminat yang menjadi dorongan utama mereka untuk berkarya semula.
Dianggotai Moots, Rudy, DJ Uno, JD dan AJ, Pop Shuvit berkongsi bagaimana sokongan padu daripada peminat memberi mereka semangat untuk terus menghasilkan muzik berkualiti.
“Sebelum ini, kami adakan satu persembahan dan muat naik video di TikTok. Jadi, ia tular. Banyak komen yang minta kami keluarkan lagu dan album.
“Sebab itu kami tahu bahawa peminat kami masih ada dan ramai lagi. Jadi, kami masuk ke studio, hasilkan lagu, kumpul semula lagu-lagu yang dah ada dalam koleksi dan susun.
“Peminat masih ada dan kami rasa, ini masa yang tepat. Ditambah pula dengan situasi yang berlaku di Palestin (lagu Gila Kuasa). Jadi, ada karya yang sesuai dengan waktu.
“Kalau lihat TikTok, kami sebenarnya tak mahu. Tapi, disebabkan material dah ada dan ramai yang sentiasa minta kami buat persembahan, ini satu komitmen besar. Jadi, kami buat keputusan untuk cuba,” kata Rudy.
Setiap lagu dalam Phantom Frequencies menggambarkan pelbagai emosi dan pengalaman yang dilalui bersama peminat. Tidak hanya sekadar muzik, ada pelbagai mesej yang diselitkan.
“Saya rasa, setiap lagu dalam album ini ada perjalanannya yang tersendiri. Jadi, konsep pra-pandemik, ketika pandemik dan paska pandemik diserapkan dalam album ini. Ada juga konsep mengenai kesihatan mental dan cara menanganinya. Di bahagian akhir, kami wujudkan kesimpulan dalam album ini.
“Paling mencabar adalah Over You. Lagu itu konsepnya pop dan lain daripada konsep kami. Semasa pertama kali mendengar, saya pun rasa susah sebab luar zon selesa. Buat band, ia ada ‘sound’ yang berbeza.
“Selagi kami boleh buat persembahan dan selagi masih bernyawa kami akan teruskan,” kata Moots.
Album ini turut menampilkan pelbagai kolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri muzik, menambah warna dan kekuatannya antaranya, kolaborasi bersama Noh Salleh, Ray Toro, Dandee, Emmett, Jamir Garcia, Adam Eiman, Yonnyboii, Sya, Fareed K-Clique dan ramai lagi.
“Memang untuk lagu itu, saya berbincang dengan Adam. Adam pula memang pernah terbitkan album-album contohnya untuk Yonnyboii dan penyanyi lain. Jadi, dia yang pilih artis yang terbabit untuk kolaborasi ini.
“Sekarang, versi pertama Marabahaya dengan SonaOne dah keluar. Versi kedua akan keluar dalam album ini dan selepas ini, akan dikeluarkan versi ketiga sekali gus dengan EP. Jadi, akan ada tiga versi,” kata Moots.
Bagi DJ Uno, kolaborasi sentiasa menjadi jiwa band mereka dan sejak dahulu lagi, mereka sentiasa meraikan peluang untuk berkolaborasi.
“Sejak dahulu, semangat kami adalah kolaborasi dan kami suka apabila orang lain nak berkolaborasi dengan kami. Terutamanya, apabila kita lihat hasil kerja anak-anak muda sekarang, membuatkan kami kagum. Apabila mereka setuju untuk hasilkan versi remix Marabahaya, kami sangat berterima kasih,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu kolaborasi bersama Noh berjudul Gila Kuasa, Pop Shuvit mengangkat kisah yang sesuai dengan situasi yang berlaku di Palestin, saat ini.
“Sebenarnya, pada asasnya, anda tak perlu menjadi Muslim, Kristian atau apa-apa bangsa untuk tahu, apa yang berlaku di Gaza itu salah. Sebagai manusia, kita kena lakukan yang sebaik mungkin untuk bersuara. Ini cara kami sebagai pemuzik untuk bersuara dan kami berharap, satu hari nanti keamanan itu akan dicapai di sana.
“Tak ada perubahan dalam lagu sebab hala tujunya masih sama. Lagu itu memang ada, tapi kami tak rasa ada masa yang sesuai diterbitkan sehinggalah situasi yang berlaku sekarang. Kalau tak dikeluarkan, macam kami pentingkan diri sendiri.
“Kami pun ada keluarga, ada anak-anak, jadi memang kami pun terkesan. Kalau kita lihat apa yang berlaku di sana, tak boleh terbayang kalau perkara itu berlaku kepada keluarga kita. Itu yang cuba kami ketengahkan. Hanya perlu jadi manusia sahaja,” katanya.
Album Phantom Frequencies menampilkan lapan trek iaitu Gila Kuasa (kolaborasi dengan Noh Salleh), Melaju, Awas (versi KruManic), Marabahaya Underground, Believer, Space Between Us, Over You dan Berbisik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




