Sebenarnya, ramai yang mengenali Ajak Shiro sebagai antara individu yang cukup disenangi dalam industri hiburan. Bukan sahaja dikenali kerana lawaknya yang bersahaja, malah usahanya mengembangkan perniagaan makanan menerusi rangkaian restoran Bumbu Babah juga wajar dipuji.
Namun, sejak kebelakangan ini, ada sahaja cerita kurang enak dikaitkan dengan restoran miliknya. Ada dakwaan mengenai layanan pekerja yang tidak mesra, ada pula kisah membabitkan sikap biadab segelintir kakitangan yang kemudiannya menjadi bahan perbualan hangat di media sosial.
Biasalah, zaman sekarang. Silap sedikit, terus dirakam. Tersalah cakap, terus tular. Akhirnya, pemilik juga menanggung tempias.
Cik Bunga sebenarnya simpati melihat situasi yang menimpa Ajak. Mana tidaknya, setiap kali timbul isu membabitkan pekerja, nama Ajak juga yang disebut-sebut. Sedangkan, kalau difikirkan secara logik, mustahil seorang majikan mampu mengawal setiap gerak-geri dan tutur kata pekerjanya selama 24 jam sehari.
Betullah seperti yang pernah dijelaskan Ajak sebelum ini, bukan semua pekerjanya mempunyai sikap sedemikian. Tidak adil untuk melabel keseluruhan pasukan hanya kerana tindakan segelintir individu yang gagal menjaga adab dan profesionalisme ketika bertugas.
Apa yang Cik Bunga faham, Ajak sendiri sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai majikan. Latihan diberikan, garis panduan kerja diterangkan dan etika melayani pelanggan juga sudah diterapkan kepada semua kakitangan. Namun, akhirnya ia tetap berbalik kepada sikap individu itu sendiri.
Bak kata orang, ilmu boleh diajar, tetapi adab dan akhlak datang daripada diri masing-masing.
Sebab itulah Cik Bunga melihat isu ini dari sudut yang lebih luas. Apabila seorang pekerja bertindak mengikut emosi atau menunjukkan perangai yang kurang matang, kesannya bukan sahaja kepada dirinya, malah turut menjejaskan reputasi syarikat dan majikan yang bertungkus-lumus membina nama dalam perniagaan.
Yang paling kasihan tentunya Ajak. Bertahun-tahun membina kepercayaan pelanggan dan mengembangkan jenama, tiba-tiba imej yang dibina tercalar hanya kerana tindakan individu yang berakal cetek dan gagal memahami tanggungjawab mereka sebagai wakil syarikat.
Cik Bunga percaya, sebagai usahawan, Ajak tentu tidak mahu perkara sebegini berulang. Sudah pasti langkah penambahbaikan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa. Namun dalam masa sama, pekerja juga perlu memainkan peranan dengan menunjukkan sikap profesional dan menjaga nama baik tempat mereka mencari rezeki.
Apa pun, janganlah terlalu cepat menghukum. Tegur jika ada kesilapan, tetapi biarlah adil. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.




