BERMULA dengan operasi dua gimnasium ketika pandemik Covid-19, Katch International Sdn Bhd kini berkembang sebagai platform SaaS (perisian sebagai perkhidmatan) bersepadu yang mendigitalkan sektor ‘wellness’, kecergasan dan sukan di Malaysia serta rantau ASEAN.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Cheng Yun berkata, Katch diasaskan pada 2021 bersama Datuk Eng Yee Koon dan Brendan Siew selepas melihat jurang digital yang masih besar dalam industri gaya hidup aktif, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, ramai pengusaha gimnasium, studio kecergasan, klinik fisioterapi dan gelanggang sukan masih menggunakan WhatsApp, pindahan bank dan tangkap layar pembayaran bagi mengurus tempahan pelanggan.
“Di sebalik setiap gim, studio dan klinik fisioterapi ialah pemilik perniagaan yang masih mengejar tangkap layar pembayaran pada tengah malam.
“Kami membangunkan Katch kerana kami sendiri pernah berdepan pengalaman sebagai pelanggan yang kecewa apabila perlu membuka terlalu banyak platform hanya untuk mencari, menempah dan membuat bayaran bagi satu perkhidmatan,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Katch berfungsi sebagai platform marketplace dan sistem operasi digital yang memfokuskan kepada tiga segmen utama iaitu wellness, kecergasan dan sukan.
Melalui aplikasi itu, pengguna boleh mencari, menempah dan membuat bayaran untuk pelbagai perkhidmatan termasuk fisioterapi, klinik pemulihan, gimnasium, studio kecergasan, kelas berkumpulan, padel, badminton serta akademi sukan dalam satu platform.
Selain tempahan biasa, pengguna turut boleh membeli pakej latihan peribadi, rawatan kecantikan dan keahlian secara terus menerusi aplikasi tersebut tanpa perlu menggunakan platform lain.

Katch diasaskan bersama oleh Cheng Yun (berdiri, kiri), Yee Koon (duduk) dan Brendan pada 2021 selepas melihat jurang digital yang masih besar dalam industri gaya hidup aktif, khususnya dalam kalangan PKS.
Katch juga menyediakan sistem akses masuk automatik menggunakan kod QR dan imbasan wajah yang membolehkan pelanggan memasuki premis tanpa perlu berurusan di kaunter.
Bagi pengusaha perniagaan pula, Katch menyediakan sistem pengurusan digital merangkumi kalendar tempahan, rekod pelanggan, pembayaran, resit, analitik, promosi, invois dan laporan perniagaan tanpa memerlukan infrastruktur teknologi maklumat (IT) tambahan.
Menurut Cheng Yun, platform itu dibangunkan bagi membantu pengusaha kecil mendigitalisasikan operasi mereka tanpa perlu melabur dalam sistem yang mahal.
“Kami mahu memudahkan pengusaha mengurus operasi harian termasuk pembayaran, promosi, data pelanggan dan laporan jualan dalam satu sistem. Mereka tidak perlu lagi menggunakan banyak aplikasi berbeza untuk menguruskan perniagaan,” katanya.
Teknologi AI
Beliau berkata, Katch kini mempunyai lebih 28,000 pengguna berdaftar dengan nilai transaksi kasar mencecah RM3.5 juta selain merekodkan pertumbuhan 218 peratus tahun ke tahun.
Menurutnya, platform itu mengenakan caj komisen sebanyak tiga peratus dan RM1.50 bagi setiap transaksi tanpa yuran langganan atau caj penyenaraian.
“Model ini membolehkan PKS menggunakan sistem kami tanpa kos permulaan. Kami hanya mengenakan caj apabila transaksi berlaku,” katanya.
Beliau berkata, Katch kini mempunyai 179 perniagaan berdaftar dengan 30 daripadanya menggunakan platform itu secara eksklusif.
Tambahnya, syarikat itu turut membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu peniaga menganalisis prestasi jualan, mengenal pasti waktu operasi kurang pelanggan serta merancang strategi pemasaran secara lebih efektif.
“AI ini membantu perniagaan mengenal pasti tempoh jualan perlahan, melihat peluang promosi dan membuat keputusan berdasarkan data.
“Kami juga sedang membangunkan ciri AI untuk pengguna bagi memudahkan carian servis seperti gelanggang pickleball, gimnasium atau pusat ‘wellness’ berhampiran lokasi mereka,” katanya.

Katch dipilih sebagai antara 10 syarikat pemula teknologi terbaik Asia Tenggara dalam program Echelon Asia Summit di Singapura.
Menurut beliau, aplikasi tersebut turut dibangunkan berdasarkan maklum balas pasaran dan pengguna sebenar.
“Kebanyakan fungsi dalam aplikasi kami dibina berdasarkan permintaan pengguna dan pengusaha perniagaan sendiri. Kami tidak membina sesuatu berdasarkan apa yang kami mahu, tetapi berdasarkan apa yang pasaran perlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Yun berkata, Katch menyasarkan pengembangan ke Singapura dan Indonesia pada 2026 sejajar dengan potensi industri gaya hidup aktif ASEAN yang dianggarkan bernilai lebih AS$30 bilion.
Katanya, syarikat itu juga sedang dalam proses mendapatkan dana menerusi platform equity crowdfunding (ECF) bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat dan pengembangan serantau.
“Kami mahu membina infrastruktur untuk ekonomi gaya hidup aktif ASEAN. Misi kami adalah menggerakkan ASEAN ke hadapan, satu tempahan pada satu masa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Katch akan menganjurkan KTEX di IOI City Mall dari 31 Julai hingga 2 Ogos depan sebagai platform memperkukuh ekosistem ‘wellness’, kecergasan dan sukan tempatan.
Acara tersebut dijangka menghimpunkan pemain industri kecergasan, ‘wellness’, teknologi dan sukan dalam usaha mempercepatkan agenda digitalisasi industri gaya hidup aktif negara.
Katch juga pernah dipilih sebagai antara 10 syarikat pemula teknologi terbaik Asia Tenggara dalam program Echelon Asia Summit di Singapura.



