'Katil seperti berbuai-buai, saya fikirkan ada berlaku gempa bumi'

'Katil seperti berbuai-buai, saya fikirkan ada berlaku gempa bumi'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya ingatkan ada gempa bumi kerana rasa berbuai-buai, tak sangka sebenarnya berlaku tanah runtuh di belakang rumah.”

Demikian kongsi Azmi Badarudin, 55, antara penduduk di Taman Bunga Raya, Setapak di sini, yang terkesan dengan tanah runtuh petang semalam.

Ketika kejadian, katanya dia rumah berseorangan dan berada dalam bilik hadapan untuk mengemas barang dengan cuaca ketika itu hujan.

“Sedang saya duduk di atas katil tiba-tiba terasa katil seperti berbuai-buai. Saya fikirkan ada berlaku gempa bumi di negara jiran.

“Sebelum itu saya ada dengar bunyi kuat, tetapi saya ingatkan ia bunyi guruh,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Azmi yang juga seorang peniaga berkata, dia hanya menyedari berlaku tanah runtuh kira-kira 20 minit selepas itu apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya yang ketika itu sedang bekerja di luar.

“Saya ada dengar kekecohan di hadapan rumah selain ada suara jeritan orang menyuruh kami segera keluar daripada rumah masing-masing.

“Ketika itu barulah saya menyedari berlaku tanah runtuh, baru timbul rasa panik,” katanya yang lahir dan dibesarkan di taman perumahan itu sejak 1970-an.

Buat masa ini, katanya semua penduduk di kediaman terjejas termasuk keluarganya diarahkan berpindah sementara atas faktor keselamatan.

Seorang lagi penduduk, Aminah Abd Jalil, 60, berkata ketika kejadian kira-kira jam 5.30 itu dia sedang solat di bilik hadapan rumah sebelum dikejutkan jeritan anak perempuannya.

Ketika kejadian, katanya yang juga pesara hanya dia dan anak perempuannya, Anis Mohammad, 28, berada di rumah.

“Anak berada di bilik belakang dan beritahu ada dengar bunyi sangat kuat seperti guruh tetapi lebih kuat selain berdengung.

“Bila dijengah melalui tingkap, kami nampak sebahagian tanah di belakang rumah berserta pagar dan serta pokok buluh yang ditanam sudah runtuh ke bawah,” katanya.

Aminah berkata, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini kerana tembok yang runtuh itu menimbusi kawasan jalan di bawah.

“Buat masa ini saya dan suami, anak serta menantu dan cucu perempuan berusia dua tahun menginap sementara di sebuah hotel berdekatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di lokasi hari ini mendapati kerja pembersihan masih dijalankan di Jalan Genting Klang menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang terjejas selepas sebahagian tembok di lereng bukit terbabit runtuh petang semalam.

Dua lorong di laluan itu sepanjang kira-kira 100 meter ditutup sementara daripada kenderaan bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan.

17 kediaman diarah dikosongkan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail, ketika ditemui di lokasi berkata langkah pertama diambil sebaik kejadian adalah mengarahkan semua penduduk terjejas meninggalkan kediaman masing-masing.

“Semua sekali 17 unit kediaman rumah teres terbabit dengan arahan pengosongan iaitu 13 kediaman di Lorong Malinja 5 dan empat di Lorong Malinja 6 membabitkan 52 penghuni.

“Kejadian tidak membabitkan mangsa dan buat masa ini, kawasan lereng di sebelah kiri dan kanan lokasi utama runtuhan ditutup dengan kanvas bagi mengelak terkena hujan.

“Kita bimbang sekiranya cuaca hujan lagi, ia akan menjejaskan kawasan berhampiran dan berlaku lagi runtuhan,” katanya.

Buat masa ini, katanya jabatan berkaitan termasuk pihak bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi untuk menentukan status tanah dan runtuhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top