“Kau tanya aku siapa?” – Tular video wanita maki di SJR, dakwa disindir polis?

“Kau tanya aku siapa?” – Tular video wanita maki di SJR, dakwa disindir polis?

Sejak semalam, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang wanita bertindak memaki hamun anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selepas disaman akibat cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

Seorang pengguna Facebook, El Jojoe Jemadin memuat naik video memperlihatkan wanita yang dikenali sebagai Wawa itu meninggikan suara terhadap beberapa anggota polis di lokasi terbabit dalam loghat Sabah.

“Wahid Enterprise #biadap #kaulahpalingGagahKonon. Mereka hanya jalankan tugas, bagi kerjasama lah senang.. bukan pakai harrier, super king segala kau berkuasa,” tulis El Jojoe Jemadin.

Walaupun wanita itu menjerit di sana sini, anggota polis tersebut dilihat tetap tenang menjalankan tugas sambil mengeluarkan notis saman.

“Kau dengar sini, aku ajar engkau…”
“Jaga mulut kau…”
“Kau ingat tu eh. Nama aku Wawa, Wahid Enterprise..” 

Itu antara dialog dilontarkan wanita tersebut yang dipercayai seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis berkenaan.

Rakaman video berdurasi seminit 29 saat itu mendapat 10,000 perkongsian dan pelbagai reaksi netizen yang memberi komen terhibur dengan gelagat Wawa selain memuji sikap profesional anggota polis.

Tidak membiarkan sebarang spekulasi dibuat oleh warganet, Wawa menerusi sebuah posting di laman Facebook miliknya tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung kejadian terbabit.

Menurut Wawa, kejadian tersebut berlaku pada 1 Jun lalu dan mendakwa dia menunggu hampir 30 minit di dalam kereta jenis Toyota Harrier itu untuk menerima notis saman.

“Sengaja melambat-lambatkan saman, smapai Wawa turun ke pondok tanya kenapa lambat encik? Ketika itu, polis tu mula menyindir?
“Wawa cakap saman saja encik, hal ‘roadtax’ tu memang salah. Dia cakap pulak dia ada kuasa bagai dengan nada menyindir, perkecilkan Wawa sebagai rakyat..,” dakwa Wawa seperti ditulis dalam aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

Sumber: Facebook El Jojoe Jemadin & Princess Wawa El-Diamond

Scroll to Top