Kawal emosi ketika memandu, elak risiko pada pengguna lain

Kawal emosi ketika memandu, elak risiko pada pengguna lain

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan segelintir individu memandu dalam keadaan marah atau tertekan mendedahkan pengguna jalan raya lain kepada risiko kemalangan yang tinggi.

Menurut Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Dr Shukran Abd Rahman, emosi seperti kemarahan boleh mengganggu fungsi kognitif dan menyebabkan seseorang bertindak secara terburu-buru.

“Sistem saraf menjadi aktif apabila seseorang dikuasai emosi marah. Ini akan mengganggu keupayaan untuk fokus dan membuat keputusan dengan tenang.

“Ia juga boleh menjadikan seseorang memandu secara bahaya atau bertindak tanpa berfikir panjang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, terdapat fenomena psikologi dikenali sebagai ‘sindrom transisi kerja’ yang sering berlaku selepas seseorang kembali daripada bercuti.

Menurutnya, keadaan ini menjadikan seseorang berasa tidak bersedia secara mental untuk bekerja semula, terutamanya jika dipanggil masuk bertugas secara mengejut.

“Ini menyebabkan keletihan mental, kurang motivasi dan mengganggu kecekapan dalam membuat keputusan yang merupakan risiko besar terutama bagi pemandu bas.

“Emosi yang tidak stabil akan memberi kesan langsung terhadap prestasi seseorang pemandu. Dalam sektor seperti pengangkutan awam, kestabilan emosi bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia adalah syarat asas untuk memastikan keselamatan penumpang.

“Jika pemandu memulakan kerja dalam keadaan tertekan, murung atau marah, maka potensi kesilapan dan insiden tidak diingini akan meningkat,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan syarikat pengangkutan menyediakan langkah pencegahan seperti saringan kesihatan mental berkala, latihan pengurusan emosi serta menyediakan saluran aduan dalaman yang efisien.

“Sokongan sosial di tempat kerja amat penting. Pemandu juga perlukan ruang untuk meluahkan tekanan.

“Dalam jangka panjang, majikan perlu memperkenalkan program seperti Program Bantuan Pekerja (PBP) yang menawarkan sesi kaunseling, latihan kawalan emosi dan sistem sokongan berterusan.

“Ini bukan soal untung rugi syarikat saja, tetapi keselamatan ratusan nyawa yang bergantung kepada kestabilan emosi pemandu di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berasa dukacita terhadap tragedi bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menggalakkan mangsa yang terkesan untuk mendapatkan bantuan psikologi daripada pakar kesihatan mental bertauliah.

“Langkah mendapatkan bantuan adalah tindakan berani dan bertanggungjawab demi proses pemulihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top