Kuala Lumpur: Ibarat medan perang, begitulah gambaran yang boleh diberikan terhadap lokasi sekitar Putra Heights, Subang Jaya yang terbabit dengan kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi semalam.
Sambutan Hari Raya di saluran media sosial tidak lagi menjadi ‘trending’ pada hari kedua Aidilfitri.
Sebaliknya, gambar dan video insiden tersebut yang memaparkan kawasan perumahan diselubungi debu, pokok dan rumput hangus terbakar serta kenderaan yang musnah seperti dijilat api sekali gus mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) di Subang Jaya pada Selasa, beliau memaklumkan pemeriksaan rapi dan penilaian tahap keselamatan ke atas setiap unit yang terbabit dalam kebakaran akan bermula hari ini sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat yang mengambil masa lebih tujuh jam sebelum api berjaya dikawal pada 3.34 petang.
Beliau juga memaklumkan bahawa kemungkinan berlakunya letupan susulan adalah sangat rendah kerana tiada aliran gas dikesan selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pagi tadi.
Bagaimanapun, pihak bomba juga akan terus bersiap siaga di kawasan terbabit untuk tempoh 20 jam akan datang bagi memantau atau menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat tempat kejadian, mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran itu.
Beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak serta memaklumkan bahawa tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama Petronas dan kerajaan negeri.
Maklumat terkini kebakaran saluran gas di Putra Heights
© New Straits Times Press (M) Bhd

