KBS kembalikan kaedah pemerkasaan kepada PSK

KBS kembalikan kaedah pemerkasaan kepada PSK

Hannah (depan, dua dari kiri) bersama wakil PSK pada majlis MoA di MSN, Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB MSN.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengembalikan semula penyaluran peruntukan melalui kaedah ’empowerment’ kepada 19 Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melibatkan 23 jenis disiplin sukan untuk kegunaan Program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

Kaedah itu menyaksikan peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan sekali bagi perbelanjaan merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan dan perkhidmatan sokongan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, PSK terpilih perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan KBS seperti mewujudkan akaun khas bagi penerimaan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta membenarkan akaun berkenaan diaudit oleh juruaudit yang dilantik MSN.

“Kaedah empowerment ini mula dilaksanakan Jun ini di mana peruntukan kewangan akan disalur berdasarkan pelan latihan dipersetujui MSN dan PSK.

“Penyaluran akan dibuat bagi tempoh empat bulan sekali. Pada tahun ini hanya sebanyak dua fasa iaitu pada Jun hingga Ogos (hanya tiga bulan disebabkan bermula Jun), serta fasa dua bermula September hingga Disember,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MSN dan PSK di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.

Hannah menjelaskan, kaedah yang pernah digunakan ketika Program Kita Juara 2017 hingga 2019 itu sudah terbukti berjaya dan kini diperkenalkan semula untuk memastikan program latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan terancang.

“Persatuan sukan kebangsaan akan memainkan peranan yang lebih penting dalam mengendalikan pengurusan kewangan Program Podium dan pelapis kebangsaan selepas ini.

“Pada peringkat awal MSN mengenalpasti 19 PSK untuk menandatangani perjanjian ini supaya kaedah ’empowerment’ bagi penyaluran bantuan kewangan ini dapat dilaksanakan dengan jaya.

“Kementerian melalui MSN akan mengembangkan pelaksanaan kaedah ini kepada PSK yang lain pada fasa yang berikutnya.

“PSK secara dasarnya bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengurusan MSN bagi menguruskan peruntukan yang diterima,” katanya.

Beliau juga berharap agar PSK mematuhi peraturan kewangan ditetapkan MSN, selain berbelanja berdasarkan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK).

“Diharapkan ia membawa impak positif dalam pembangunan sukan negara serta mampu melahirkan lebih ramai atlet berprestasi untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa,” ujar Hannah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!