KDN teliti hasil laporan salah laku babit PDRM

KDN teliti hasil laporan salah laku babit PDRM

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti laporan salah laku membabitkan pegawai dan anggota polis yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menterinya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil tindakan segera selain melakukan penambaikan dalam integriti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita terima hasil laporan agensi tersebut berkaitan soal integriti dan salah laku. 

“Saya kira jangan ada sindrom penafian. Kedua, respon segera perlu diambil dengan beberapa langkah untuk mengatasi isu tersebut,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Terdahulu, akhbar melaporkan ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM mengesyorkan tindakan diambil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

Jumlah tertinggi membabitkan polis iaitu 125 laporan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Jika kami (SPRM) temui unsur-unsur salah laku, menjadi kewajipan kami melaporkannya kepada ketua jabatan (agensi kerajaan).

“Ketua-ketua jabatan kemudian akan melaporkan semula kepada kami, mengesahkan bahawa mereka menerima laporan itu,” katanya. 

Menurut Saifuddin, pihaknya tidak melihat daripada persepektif peratusan walaupun laporan itu hanya membabitkan satu peratus daripada jumlah keseluruhan warga PDRM iaitu 122,000. 

“Kita tidak lihat perspektif itu, saya kata jangan ada penafian. Bagaimanapun di luar sana ada ramai lagi yang jalankan tugas penuh dedikasi.

“Saya percaya kepimpinan polis sedia ada menerima ada ruang penambahbaikan bagi memastikan isu integriti institusi ini diyakini,” katanya.- UTUSAN