KDN teliti keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012

KDN teliti keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti implikasi perundangan bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menyifatkan hukuman dikenakan terhadap penganjur perhimpunan aman mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 bertentangan dengan perlembagaan.

Panel lima hakim membuat keputusan itu dalam kes bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi bagi menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung pertuduhan ke atas Amir Hariri dalam prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Majistret, tiga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN mengambil maklum dengan penuh hormat keputusan itu dan akan meneliti keputusan ini untuk tindakan sewajarnya.

Menurutnya, ini termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan, supaya selari dengan kehendak Perlembagaan dan selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi negara.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman serta keselamatan awam.

“Adalah menjadi keutamaan Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara.

“Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan sudah diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sebarang sekatan.

“Pada 2024, angka itu meningkat kepada 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan. Ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam menggunakan hak untuk berhimpun secara aman dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, isu kebebasan berhimpun ini diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri selaku peneraju utama agenda reformasi Kerajaan MADANI di mana beliau mengumumkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berhimpun.

“Sejajar dengan komitmen itu, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen yang akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top