khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan sudah menemui beberapa petunjuk baharu mengenai keberadaan ahli perniagaan yang dikehendaki, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang berjalan.
“Isu sekarang ialah keberadaannya. Saya boleh sebut bahawa kerjasama antara kita dengan polis antarabangsa sedang berjalan dan sememangnya kita menemui beberapa petunjuk baru.
“Saya tak mahu berbincang dengan lebih lanjut sebab itu boleh mengganggu siasatan kita,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong)mengenai adakah boleh meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) memberi maklumat di mana menantunya itu berada.
Menyentuh persoalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai kerjasama Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) bagi mencari Muhammad Adlan, Saifuddin Nasution mengesahkan perkara berkenaan.
“Sememangnya, notifikasi oleh pihak berkuasa kita dalam pengetahuan INTERPOL.
“Pertemuan saya dengan Ketua INTERPOL di China beberapa minggu lepas, apabila perkara ini saya bangkitkan, beliau mengesahkan notifikasi kita ada dalam pengetahuan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




