Milan: Penyerang Itali, Moise Kean, disahkan akan terlepas aksi penting kelayakan Piala Dunia menentang Israel selepas gagal pulih daripada kecederaan buku lali, umum Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), semalam.
“Pemeriksaan yang dijalankan pagi tadi mendapati penyerang Fiorentina itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan di buku lali kanan yang dialaminya ketika menentang Estonia Sabtu lalu,” menurut kenyataan FIGC.
Ketiadaan Kean menjadi tamparan hebat buat jurulatih, Gennaro Gattuso, memandangkan pemain berusia 25 tahun itu sedang mempamerkan prestasi cemerlang dengan enam gol dalam empat penampilan terakhir bersama skuad Azzurri, termasuk jaringan pembukaan ketika menang 3-1 ke atas Estonia hujung minggu lalu.
Kean meledak seawal minit kelima dalam aksi Kumpulan I di Tallinn, namun terpaksa digantikan oleh Pio Esposito tidak lama kemudian selepas terjatuh lalu mengalami kecederaan terseliuh.
Itali kini berada di tangga kedua kumpulan, enam mata di belakang pendahulu Norway dan tiga mata mengatasi Israel di tempat ketiga dengan satu perlawanan dalam tangan.
Kemenangan di Udine esok akan mengesahkan sekurang-kurangnya tempat play-off buat Itali, namun untuk layak secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan, mereka perlu berharap Norway keciciran mata menentang Estonia bulan depan berikutan perbezaan jaringan yang besar antara kedua-dua pasukan.
Itali akan menamatkan kempen kumpulan menentang Norway di San Siro pada 16 November.
Bagaimanapun, perlawanan esok dibayangi ketegangan apabila dijangka sekitar 10,000 penyokong pro-Palestin bakal mengadakan demonstrasi di Udine bagi membantah penganjuran perlawanan itu susulan operasi ketenteraan Israel di Gaza yang tercetus selepas serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Sebelum ini, ketika mogok besar-besaran menyokong Palestin awal bulan ini, penunjuk perasaan turut berkumpul di pusat latihan skuad Itali di Florence bagi mendesak agar perlawanan berkenaan dibatalkan.
Datuk Bandar Udine, Alberto Felice De Toni, turut meminta aksi itu ditangguhkan kerana bimbang risiko keganasan di bandar kecil di timur laut Itali itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




