London: Roy Keane mengkritik ketua jurulatih England, Thomas Tuchel kerana gagal menentukan kesebelasan utama terbaik sepanjang saingan peringkat kumpulan Piala Dunia.
The Three Lions terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Panama 2-0 hasil jaringan separuh masa kedua daripada Jude Bellingham dan Harry Kane, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan England menamatkan saingan selaku juara Kumpulan L dan akan berdepan Republik Demokratik Congo pada pusingan 32 terbaik.
Bagaimanapun, Keane, 54, berpendapat penyokong England perlu bimbang kerana Tuchel masih melakukan terlalu banyak perubahan dalam pasukannya.
Legenda Manchester United itu berkata kepada ITV: “Pemain-pemain utama akhirnya tampil pada separuh masa kedua.
“Pihak lawan sangat lemah, jadi kita boleh mengkritik England jika mereka gagal menyelesaikan tugas itu, tetapi mereka berjaya melakukannya.
“Mereka akan berdepan perlawanan yang lebih sukar selepas ini. Walaupun ada beberapa perkara positif daripada pemain berstatus bintang, pengurus melakukan terlalu banyak rombakan.
“Saya rasa dia sendiri tidak tahu siapa kesebelasan terbaiknya. Itu bukan petanda yang baik. Dari segi pertahanan, dia terus melakukan pertukaran.”
Keane turut mengkritik Tuchel selepas tidak berpuas hati dengan persembahan England pada separuh masa pertama.
“Ada sesuatu yang kurang, iaitu intensiti. Kadangkala apabila anda menentang pasukan yang mempunyai kualiti lebih rendah, anda akan ditarik untuk bermain mengikut tahap mereka,” katanya.
Bagi bekas kapten Manchester United itu, England perlu segera meningkatkan prestasi jika mahu melangkah lebih jauh dalam kejohanan, terutama apabila bakal berdepan lawan yang lebih mencabar pada pusingan kalah mati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




