Robertson tabik sumbangan Clarke

Robertson tabik sumbangan Clarke

Kansas City: Kapten Scotland, Andy Robertson memberi penghormatan kepada Steve Clarke atas sumbangan besar dilakukan jurulatih terbabit dalam membawa perubahan terhadap pasukan itu.

Perkara berkenaan diluahkan Robertson sehari selepas jurulatih berusia 62 tahun itu meletakkan jawatan susulan penyingkiran Scotland daripada Piala Dunia 2026.

“Ia hanya ucapan terima kasih,” kata Robertson dalam satu hantaran panjang di Instagram.

“Apa yang anda lakukan untuk negara kami akan diingati bagi tahun-tahun yang akan datang.”

“Rasa kecewa yang kami semua alami akan hilang, tetapi bukan sahaja legasi anda akan kekal, malah ia diharap akan menjadi lebih bermakna,” katanya lagi.

Clarke, yang membawa Scotland kembali ke Piala Dunia selepas 28 tahun meletakkan jawatan selepas pasukan itu menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan C, namun gagal berada dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Scotland memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti, namun kemudian tewas dengan keputusan sama kepada Maghribi dan dibelasah Brazil 3-0.

“Detik yang anda bantu cipta untuk negara kami, antaranya (menentang) Serbia di tempat lawan, Sepanyol di tempat sendiri, Norway di tempat lawan dan sudah tentu Denmark di tempat sendiri.

“Perlawanan yang akan terpahat dalam sejarah bola sepak Scotland dan keputusan yang tidak akan mungkin dicapai tanpa anda,” kata Robertson.

Scotland mencapai Kejohanan Eropah pertama mereka sejak 1996 selepas kemenangan menerusi penentuan penalti di Serbia yang membawa mereka ke pusingan akhir 2020 dan kemudian layak ke Euro 2024 selepas menewaskan Sepanyol 2-0 serta menang 2-1 di Norway.

Scotland juga menewaskan Denmark 4-2 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026 untuk layak ke Amerika Utara.

Robertson yang akan memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris bersama Tottenham Hotspur, menambah: “26 pemain merealisasikan impian zaman kanak-kanak mereka tetapi akhirnya gagal mencapai sasaran kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top