Kanada lakar sejarah mara ke pusingan 16, kalahkan Afrika Selatan 1-0

Kanada lakar sejarah mara ke pusingan 16, kalahkan Afrika Selatan 1-0

LOS ANGELES: Jaringan kemenangan pada masa kecederaan oleh Stephen Eustaquio memastikan Kanada menewaskan Afrika Selatan 1-0 dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Piala Dunia, sekali gus membawa tuan rumah bersama itu ke kelompok 16 pasukan terbaik buat kali pertama dalam sejarah.

Dalam aksi yang menyaksikan kedua-dua pasukan membuat penampilan sulung di pusingan kalah mati, perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan sebelum Eustaquio menggegarkan gawang Afrika Selatan menerusi rembatan tepat dari luar kotak penalti.

Kanada yang beraksi di Los Angeles walaupun berstatus tuan rumah bersama selepas gagal menjuarai kumpulan akan menentang Belanda atau Maghribi di Houston pada 4 Julai bagi perebutan tempat ke suku akhir, manakala perjalanan Afrika Selatan di Piala Dunia berakhir.

Sebelum perlawanan, jurulatih Jesse Marsch menekankan faktor istimewa bintang Kanada, Alphonso Davies, yang kembali cergas selepas mengalami kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, pemain sayap Bayern Munich itu yang masih belum beraksi pada kempen Piala Dunia kali ini sekali lagi tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Kanada tetap memulakan perlawanan dengan agresif dan mencipta beberapa peluang ketika berdepan pertahanan kemas Afrika Selatan.

Pada minit ke-22, sepakan percuma tepat Eustaquio menemui Derek Cornelius yang tidak dikawal di hadapan gawang, namun pertahanan tengah Kanada itu tersasar ketika melakukan tandukan.

Afrika Selatan sesekali mengancam menerusi serangan balas, namun Kanada hampir memecah kebuntuan menjelang tamat babak pertama.

Daripada sepakan sudut, tandukan Moise Bombito berjaya dikeluarkan di atas garisan gol sebelum percubaan susulan Tajon Buchanan diselamatkan penjaga gol Ronwen Williams.

Tidak lama kemudian, Khuliso Mudau mengasari Richie Laryea di kawasan berbahaya, namun rayuan penalti Kanada tidak dilayan pengadil.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong Kanada yang memenuhi stadium, dan sorakan sinis semakin kuat selepas rehat apabila Afrika Selatan dilihat lebih banyak melambatkan permainan.

Selepas sejam permainan, Kanada sekali lagi hampir menjaringkan gol apabila pemain gantian Niko Sigur melorongkan bola kepada Tani Oluwaseyi, namun percubaannya diselamatkan Williams sebelum Jonathan David gagal memanfaatkan bola muntah selepas Mbekezeli Mbokazi melakukan bentengan cemerlang.

Pada minit ke-75, Davies akhirnya dimasukkan dan disambut sorakan gemuruh penyokong, selain terus memberikan impak.

Dari bahagian kiri, Davies menemui Jonathan David yang melorongkan bola kepada Promise David, namun percubaannya tersasar.

Beberapa minit kemudian, Davies sekali lagi mencipta peluang kepada Jonathan David, tetapi percubaan dari sudut sempit berjaya dinafikan Williams.

Pada minit kedua masa kecederaan, Kanada akhirnya memecah kebuntuan selepas Jacob Shaffelburg melakukan larian di sebelah kanan sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti yang ditanduk keluar ke arah Eustaquio.

Pemain tengah Porto yang dipinjamkan ke Los Angeles FC itu mengawal bola menggunakan dada sebelum melepaskan rembatan kencang yang menerjah penjuru kiri gawang.

Pemain dari bangku simpanan Kanada segera meluru masuk ke padang ketika stadium bergema dengan sorakan meraikan kemenangan bersejarah itu.- AGENSI

Scroll to Top