KUALA LUMPUR – Kebajikan atlet perlu menjadi keutamaan kerajaan dan persatuan sukan bagi memastikan negara mampu melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sukan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya merupakan strategi penting dalam kerangka Kerajaan Madani untuk mengangkat martabat rakyat dan negara selain membentuk masyarakat yang lebih inklusif merentasi pelbagai kaum dan latar belakang.
Anwar berkata, walaupun tumpuan kini terarah kepada agenda transformasi ekonomi dan kecerdasan buatan (AI), pembangunan sukan tetap menjadi agenda penting negara memandangkan peranannya yang besar dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, bersatu dan menyeluruh.
“Sebagaimana titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar mengurangkan perbelanjaan dalam penganjuran sukan atau bersederhana, saya nyatakan jika ada lebihan peruntukan, ia seharusnya dilebihkan kepada kebajikan atlet.
“Kita juga tekankan kalau mahu kejayaan dalam sukan, tumpuan mesti kepada kebajikan atlet, itu mesti jadi faktor nombor satu selain tempat latihan lebih baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol serta Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di sebalik cabaran ekonomi semasa, pelbagai acara dan program sukan tetap diteruskan menerusi pelaksanaan langkah penjimatan yang bersesuaian.
Perdana Menteri turut memberi jaminan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa kegiatan sukan tidak akan terjejas, selain memastikan kebajikan atlet sentiasa dipelihara.
“Saya mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan tinggi kepada Kementerian Belia dan Sukan, MSN dan persatuan sukan kerana memahami kita tidak terkecuali daripada kesan kegawatan ekonomi dengan menganjurkan program berskala sederhana dan menjimatkan perbelanjaan.
“Walaupun ada kekangan kewangan, saya bagi jaminan kepada (Dr Mohammed) Taufiq dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya…itu jaminan saya,” katanya.
Anwar turut berkongsi prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun lepas dan suku pertama tahun ini yang mencatat pencapaian lebih baik daripada unjuran awal meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dunia.
Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan ekonomi negara berada pada landasan membanggakan hasil usaha berterusan semua pihak bagi memastikan kestabilan serta pertumbuhan yang mampan.
Perdana Menteri menjelaskan unjuran ekonomi lazimnya dibuat secara berhati-hati dan kadangkala terdapat perbezaan antara jangkaan awal dengan pencapaian sebenar.
“Saya lihat mengenai unjuran yang dibuat dalam acara sukan yang mana telah mencapai prestasi lebih baik daripada yang diunjurkan kerana selalunya unjuran ini ada sedikit unsur berlebih-lebihan.
“Dalam negara kita, ada dua hal boleh dibanggakan dengan unjuran iaitu pertama sukan, kedua pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Anwar berkata, faktor kenaikan harga minyak dunia turut memberi kesan kepada ekonomi semasa apabila harga yang sebelum ini sekitar AS$70 setong kini meningkat kepada hampir AS$100 setong.
“Balik kepada ketahanan ekonomi negara, kita kena terus berusaha dan belajar bagaimana untuk mencapai prestasi yang lebih baik, begitu juga tumpuan kita pada pencapaian dalam bidang sukan,” katanya. – Bernama



