rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat perhatian kerajaan apabila elaun dan pelbagai faedah termasuk perumahan ditingkatkan dalam fokus memperkukuh ekosistem kesejahteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia antara 10 fokus utama yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan bersetuju mewujudkan Ganjaran Hilang Upaya Disebabkan Oleh Kecederaan Semasa Tugas Aktif yang akan diberi secara sekaligus kepada semua anggota ATM mengalami kecederaan semasa bertugas.
“Antara lain adalah penambahbaikan kepada Faedah Hilang Upaya (FHU) berkuatkuasa bulan ini membabitkan pencen hilang upaya dan julat elaun pelajaran anak penerima pencen hilang upaya yang dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 kepada RM1,600 hingg RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.
“Elaun Layanan Sentiasa juga dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022,” katanya berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira di sini, tadi.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled berkata, beberapa inisiatif lain turut diperkenalkan kepada anak warga ATM termasuk Simpanan Pendidikan Madani, e-perkasa SPM dan pemberian Chromebook percuma kepada pelajar Tingkatan 5 yang mengikuti e-perkasa.
Selain itu, katanya, usaha kementerian untuk menjadikan kem penempatan keluarga ATM sebagai lingkungan kehidupan terbaik untuk penghuni difahami kerajaan apabila meluluskan RM10 juta bagi pelaksanaan Program Kem Madani pada tahun ini.
“Kita juga mahu menjadikan kehidupan dalam kem sebagai ruang menjana pendapatan tambahan kepada penghuni dengan menawarkan projek tanaman dan ternakan seperti Sistem Hidroponik Sifar Karbon di Kem Mahkota Kluang, Johor.
“Kita juga sedang mengenalpasti kesesuaian kem lain di seluruh negara untuk menjalankan projek penanaman cendawan tiram, projek penternakan madu kelulut, projek Urban Vertical Farming & Fertigasi (UVFF) dan projek penternakan ikan dalam kanvas,” katanya.
Katanya, sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan penginapan anggota ATM termasuk fasiliti turut akan diselenggara membabitkan peruntukan keseluruhan RM400 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd