Penerokaan rakus tak bertempat

Penerokaan rakus tak bertempat

Populasi manusia yang semakin bertambah dan tuntutan memenuhi keperluan pembangunan yang pelbagai dan pesat berkembang menjadikan alam sekitar kita ‘kepenatan’.

Apabila manusia dan alam sekitar bertembung, acap kali kita sudah mengetahui kesudahannya iaitu alam sekitar terpaksa beralah dan dikorban.

Tetapi, apabila alam sekitar terkorban, bukan bermakna manusia menang secara total kerana setiap perbuatan pasti ada tindak balasnya secara semula jadi, cuma masa yang menentukan cepat atau lambat kita dapat melihat dan merasai kesannya kepada kita.

Pelbagai bentuk pencemaran dan kemusnahan pada alam sekitar ini berpunca dari jari jemari manusia sendiri yang tidak amanah menjaga nikmat Allah SWT ini.

Kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan pelbagai bencana lain yang meragut nyawa dan harta benda menunjukkan alam bertindak balas secara senyap pada kita selama ini.

Ketika ahli akademik dan aktivis alam sekitar berbuih mulut memberi saranan supaya penerokaan secara rakus terhadap sumber alam bagi memenuhi keperluan populasi manusia perlu dihentikan, dibuat secara berhemah dan terancang supaya alam tidak terseksa, ia ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Apabila kembali berlaku bencana, skrip sama diulang semula untuk meredakan kemarahan dan kegusaran masyarakat setempat untuk suatu tempoh sehingga semula mula lupa dan alpa.

Sekadar mengambil contoh beberapa kejadiah tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands yang meragut nyawa kerana tertimbus sebelum ini, puncanya akibat penerokaan tidak terkawal di tanah tinggi berkenaan atas alasan murni berbakti pada tanah untuk menanam sayur-sayuran dan kelangsungan ekonomi.

Di ruang media massa, riuh setiap pihak berkepentingan memberi jawapan dan gesaan supaya tragedi seumpama itu tidak berulang, tetapi selepas itu penerokaan tak terkawal kembali bermaharajalela menjarah bukit tanpa rasa bersalah dan puas.

Usah dihalakan tumpuan kita pada Cameron Highlands sahaja kerana pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit boleh dilihat dimana-mana sahaja dan ia ibarat bom jangka yang sentiasa memberi impak risiko yang besar.

Ada sahaja kes kawasan rumah lereng bukit di bandar besar yang runtuh, ada juga yang terpaksa dikosongkan kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

Melihat kepada senario semasa dan mendatang akibat perubahan faktor perubahan iklim dunia yang dunia yang drastik, pembangunan lestari adalah jawapannya dan perlu diterapkan secara serius dalam aspek pembangunan negara.

Penulis berpandangan pembangunan lestari bukan lagi pilihan untuk dilaksanakan atau diabaikan kerana atas segala bencana alam yang berlaku, kita perlu diperingatkan kembali bahawa perlu diberi keseimbangan kepada tuntutan pembangunan dan pada masa sama menunaikan hak pada alam sekitar.

Allah SWT memberi ingatan keras dalam al-Quran bahawa kerosakan bumi ini kerana tangan kita yang mentadbirnya dengan tidak cermat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah muncul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di daratan serta di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (yang demikian itu) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada akibat perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.

Inti pati ayat ini memberi peringatan kepada kita semua bahawa di sebalik kemuliaan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah SWT yang diberi tanggungjawab untuk melestarikan khazanah sumber alam untuk manfaat makhluk di muka bumi merentas generasi, tetapi kita yang mengkhianatinya.

Sebahagian kita tidak sedikit pun berasa bersalah untuk melakukan pelbagai kerosakan di daratan dan di lautan.

Ayat ini juga dengan jelas memutuskan bahawa tangan manusia yang menjadi asbab kerosakan ekosistem, kemusnahan sumber, pencemaran udara, ketidakstabilan iklim serta pelbagai fenomena alam yang mengancam kesinambungan hidupan di daratan dan lautan termasuk manusia sendiri.

Atas sebab itu konsep pembangunan lestari perlu menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan yang ingin kita buat.

Melihat dari perspektif yang lebih luas, pembangunan lestari turut meliputi aspek pembentukan akhlak individu dalam melahirkan generasi yang mempunyai budi pekerti dan sahsiah diri unggul.

Hal ini penting bagi memastikan keseimbangan secara holistik hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam semesta dapat dipelihara dengan penuh hikmah dan amanah.

Ini kerana apabila kita menjaga hubungan dengan semua makhkuk ciptaan Allah SWT ini, kita turut menjaga hubungan dengan Maha Pencipta.

Justeru, pembangunan lestari sangat penting bagi mengembalikan keseimbangan serta kesyumulan dalam kesejahteraan manusia dan alam sekitar.

Penulis Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top