suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Cheras: Polis mengesahkan kebakaran sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, semalam, dipercayai tindakan khianat akibat tidak berpuas hati dengan antara ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud berkata, pada 8.30 pagi, semalam, individu berumur 40 tahun dihubungi adiknya memaklumkan bahawa suaminya berada di hadapan rumah (tempat kejadian) untuk mengambil barang miliknya.
Katanya, semasa pintu dibuka, suspek menjerit dan menuduh mangsa merosakkan rumah tangganya.
“Bagi mengelakkan pergaduhan, pengadu membenarkan suspek masuk untuk mengambil barang dan pengadu telah beredar ke hujung tangga blok.
“Tidak lama kemudian, jiran memaklumkan bahawa rumah pengadu telah terbakar dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) telah tiba dan berjaya memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, pihaknya menangkap lelaki berumur 34 tahun pada 11.25 pagi, semalam, kerana disyaki terlibat di dalam kes ini.
Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing disahkan positif dadah.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pengadu yang merupakan abang kandung kepada isterinya yang masuk campur dalam urusan rumah tangga mereka sehingga suspek dan isterinya hendak bercerai,” katanya.
Rosdi berkata, siasataan dijalankan menikut Seksyen 436 dan 506 Kanun Keseksaan (KK).
“Bagi Seksyen 436 KK sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.
“Seksyen 506 KK, sabit kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya, reman suspek akan dimohon hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Semalam, bilik di PPR Desa Tun Razak terbakar kira-kira 40 peratus.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada 8.37 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak digerakkan ke lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




