Kebakaran Flat Sri Sabah harap buka mata semua – Penduduk

Kebakaran Flat Sri Sabah harap buka mata semua – Penduduk

KUALA LUMPUR – Kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah, Cheras baru-baru ini sememangnya meninggalkan kesan dan menyebabkan seorang penghuni, Joeboy fobia.

Namun, dia yang sudah tinggal di flat berkenaan sejak tahun 1986 amat bersyukur apabila kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan nyawa.

Joeyboy yang menghuni di unit keenam tingkat paling atas itu berkata, dia baru sahaja pulang  bercuti di Melaka dan sedang makan bersama empat anaknya di sebuah restoran berdekatan.

Kebakaran yang berlaku di pangsapuri di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras. Foto SYADILA AMARI, 11 FEBRUARI 2024.

“Sebelum naik rumah, anak-anak ajak makan sebab tu kami tak terus pulang ke rumah. Baru duduk 10 minit di restoran saya dapat panggilan telefon daripada kawan beritahu rumah terbakar.

“Sehingga hari ini saya fobia lepas tengok api. Saya mimpi tengok api di kiri dan kanan,” katanya ketika ditemui di Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.

Kebakaran itu menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang di pusat pemindahan sementara disediakan sebelum diberi rumah transit.

Joeyboy yang masih takut dengan kejadian tersebut meminta pihak berwajib memastikan pili bomba di flat tersebut diperiksa supaya ia berfungsi dengan baik.

Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menyiasat punca kebakaran ketika tinjauaan Malaysia Gazette di pangsapuri Sri Sabah, Cheras. Foto WAN NABIL NASIR, 12 FEBRUARI 2024.

Dalam pada itu, salah seorang penghuni blok tersebut, Amrina Mahfudz, 46, mahu pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap keselamatan penduduk di flat berkenaan.

“Bukan sahaja fungsi pili air bomba yang perlu dipantau tetapi juga masalah letak kereta dan sebagainya.

“Macam kejadian tempoh hari, bila kebakaran sukar jentera bomba hendak memasuki tempat ini kerana kesesakan tempat letak kereta. Pihak berkuasa perlu mentadbir tempat ini dengan baik, mengambil kira keselamatan kami,” ujarnya.

Seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Wak Man, 62, berkata, kebakaran di flat berkenaan boleh dikawal cepat sekiranya kemudahan keselamatan diselenggara dengan baik.

“Saya berharap kejadian tempoh hari menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Kalau boleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) , periksa pili bomba enam bulan sekali atau tiga bulan sekali.

“Bila tak periksa, kat pili bomba tu jadi tempat longgok rim  motor, bangkai motor pun ada. Tapi kalau kita tegur takut orang tak terima,” katanya lagi.-MalaysiaGazette