Kebakaran hutan di Jepun: Ribuan dipindahkan, api hampiri kediaman

Kebakaran hutan di Jepun: Ribuan dipindahkan, api hampiri kediaman

Otsuchi: Lebih 1,000 anggota bomba di utara Jepun bertungkus-lumus mengawal dua kebakaran hutan yang memasuki hari kelima berturut-turut pada Ahad ketika api semakin menghampiri kawasan kediaman, lapor The Japan Times.

Kebakaran itu memaksa lebih 3,000 penduduk berpindah selepas api yang bermula di kawasan pergunungan sejak Rabu lalu kini mengancam kawasan perumahan di bandar Otsuchi, wilayah Iwate.

Pegawai jabatan bomba memberitahu pemberita bentuk muka bumi yang berbukit, cuaca kering dan tiupan angin menyukarkan usaha mengawal api daripada terus merebak.

Datuk Bandar Otsuchi, Kozo Hirano dalam sidang media pada Ahad berkata, kira-kira 1,600 anggota bomba serta anggota Pasukan Pertahanan Diri (SDF) digerakkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

Katanya, operasi pemadaman dari udara menggunakan helikopter sedang giat dijalankan di kawasan berhampiran kediaman bagi menghalang api daripada memusnahkan harta benda penduduk.

Sehingga pagi Ahad, kebakaran itu sudah memusnahkan kira-kira 1,370 hektar kawasan hutan dengan arahan pemindahan dikeluarkan terhadap 1,541 isi rumah membabitkan 3,233 penduduk.

Bandar berkenaan sebelum ini pernah mengalami sejarah hitam apabila kehilangan hampir satu persepuluh penduduknya dalam tragedi gempa bumi dan tsunami besar pada Mac 2011.

Seorang mangsa yang dipindahkan, Taeko Kajiki, 76, berkata kawasan itu tidak pernah terbakar walaupun ketika bencana 2011 berlaku dan menyifatkan situasi kali ini amat membimbangkan.

Kajiki yang juga bekas jururawat berkata, dia berjaga sepanjang malam dan sudah mengemas dokumen penting termasuk kad perubatan serta kura-kura peliharaannya.

Seorang anggota bomba sukarela, Masashi Kikuchi, 37, berkata keadaan tanah yang sangat kering menyebabkan api baharu sering muncul sebaik sahaja api di kawasan lain berjaya dipadamkan.

Pihak berkuasa mengesahkan lapan bangunan termasuk sebuah rumah kediaman rosak atau musnah setakat ini, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Saya tidak boleh membiarkan penduduk kehilangan rumah sekali lagi selepas mereka pernah kehilangannya semasa tsunami dahulu,” kata Hirano yang turut berjanji akan menyediakan kemudahan mandi air panas bagi mengurangkan tekanan penduduk.

Walaupun Jepun jarang mengalami kebakaran hutan berbanding negara lain, perubahan iklim meningkatkan kekerapannya terutama pada awal musim bunga yang panas, kering dan berangin sebelum bermulanya musim hujan.

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan tiada hujan diramalkan berlaku di wilayah berkenaan sepanjang minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top