Kebakaran Jeti Chew: 30 tahun berniaga, rugi RM1 juta dalam sekelip mata

audreymd@nst.com.my

George Town: Pemilik perniagaan di Jeti Chew, di sini, terpaksa menanggung kerugian selepas premis dan barangan mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pengusaha kedai cat kereta, Hong Jing Lian, 60, yang menjalankan perniagaan di lokasi itu sejak 1997 berkata, keseluruhan barangan di dalam kedainya musnah.

Katanya, kebakaran berlaku selepas jam 1 pagi dan dipercayai bermula dari premis lain sebelum merebak dengan pantas.

“Semuanya terbakar termasuk cat dan ‘thinner’. Api mudah merebak kerana terdapat banyak barangan mudah terbakar di dalam kedai saya.

“Saya sudah melabur banyak wang dalam perniagaan ini sejak hampir 30 tahun lalu. Saya anggarkan kerugian kira-kira RM1 juta, termasuk tiga kenderaan yang dihantar untuk dicat.

“Kenderaan itu ialah Suzuki Swift, Mercedes-Benz C-Class dan BMW,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hong berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya menunjukkan tiada kebakaran berlaku di dalam premis pada jam 12.59 tengah malam.

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi rakan sebelum bergegas ke premis berkenaan dari rumahnya di Farlim.

“Sebaik saya tiba, semuanya sudah musnah,” katanya.

Mangsa lain, pengusaha percetakan baju-T, Toh Aik Aun, 50, berkata, perniagaannya yang sudah beroperasi di lokasi berkenaan hampir 30 tahun turut terjejas teruk.

Toh berkata, dia menerima panggilan memaklumkan mengenai kebakaran pada jam 1.08 pagi.

“Semuanya terbakar. Ratusan helai baju-T yang belum sempat dihantar kepada pelanggan turut musnah,” katanya.

Katanya, dia akan menilai jumlah kerugian sebelum menentukan tindakan seterusnya.

Pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah stesen minyak berhampiran serta kawasan perumahan.

Punca kebakaran dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran besar berlaku di Jeti Chew pagi tadi. Lokasi terbabit yang terletak di kawasan pesisir George Town adalah antara mercu tanda terkenal di bandar berkenaan serta penempatan persatuan Cina terbesar dan antara yang tertua di Pulau Pinang.

Dibina di atas tiang kayu di atas laut, penempatan itu bermula sejak abad ke-19 dan diasaskan oleh imigran Cina dari wilayah Fujian yang menggunakan nama keluarga Chew.

Komuniti di kawasan pesisir itu masih terkenal dengan rumah tradisional atas air, laluan pejalan kaki kayu serta warisan masyarakat Cina yang kaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top