London: Polis Britain pada Ahad memaklumkan sedang menyiasat kebakaran yang disyaki dilakukan dengan sengaja di sebuah masjid di selatan England sebagai “jenayah kebencian”, hanya beberapa hari selepas serangan maut terhadap sebuah sinagog.
Pegawai polis dipanggil ke lokasi kejadian di bandar pesisir selatan Peacehaven lewat malam Sabtu.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, kebakaran itu menyebabkan kerosakan pada pintu hadapan masjid serta sebuah kenderaan yang diletakkan di luar bangunan.
Susulan kejadian itu, Polis Sussex mengeluarkan imej dua lelaki bertopeng berpakaian gelap dan memohon bantuan orang ramai untuk mengenal pasti mereka.
Detektif Inspektor Gavin Patch menyifatkan kebakaran itu sebagai “serangan yang kejam dan tidak bertanggungjawab yang pastinya membuat ramai berasa tidak selamat.”
“Kami menganggap kejadian ini sebagai pembakaran dengan niat membahayakan nyawa dan sedang meneliti beberapa petunjuk bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Jurucakap masjid Peacehaven berkata, pihaknya “amat bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera,” sambil menyeru semua pihak menolak perpecahan dan membalas kebencian dengan perpaduan serta belas kasihan.
“Tindakan penuh kebencian ini tidak mencerminkan masyarakat atau bandar kami,” tambahnya.
Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, menyifatkan serangan itu sebagai “amat membimbangkan.”
“Serangan terhadap umat Islam Britain merupakan serangan terhadap seluruh rakyat Britain dan negara ini sendiri,” katanya di media sosial.
Sementara itu, Presiden Lembaga Timbalan Yahudi Britain, Phil Rosenberg, turut mengecam kebakaran masjid berkenaan dan menyeru kepada solidariti antara agama.
“Setiap komuniti berhak untuk beribadah tanpa rasa takut. Negara kita lebih baik daripada ini,” katanya.
“Sejak beberapa minggu kebelakangan ini banyak perbincangan mengenai bagaimana kita telah menjadi ‘kerajaan yang berpecah’. Tetapi kita ialah United Kingdom, dan kita perlu bersama menentang kebencian,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




