am@hmetro.com.my
Kulim: Pasukan Bomba dan Penyelamat masih berusaha memadam kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Padang Cina, di sini, yang berlarutan lebih 15 jam setakat ini.
Komander Operasi Mohd Faizal Sulaiman berkata, keadaan angin yang kuat menyebabkan api mulai marak dan terus merebak di kawasan dianggarkan lebih tiga hektar, namun tidak membabitkan mangsa.
“Tindakan semasa pemadaman dengan mengasingkan timbunan sampah bagi mengelakkan api merebak berterusan.
“Strategi pemadaman dibahagikan kepada dua divisyen yang membabitkan 17 pegawai bomba dan 15 orang awam daripada syarikat swasta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Faisal berkata, bantuan air dari jentera tangki air Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Kepala Batas, Pulau Pinang serta lori tangki air Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) digunakan bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi dijalankan.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengarahkan bantuan tambahan ke lokasi bagi menyalurkan air dari sumber air terbuka bagi mengawal kemarakan api terbabit, di samping pemantauan udara dengan bantuan Unit Drone.
“Sehingga kini, kerja pemadaman masih lagi dijalankan di lokasi, ‘ katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, bacaan Indeks Pencemaran Udara di kawasan berhampiran kebakaran tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Cina, Kulim berada dalam kategori sederhana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




