Kes dakwaan Mohamed Apandi tutup jenayah Najib diklasifikasi NFA – Saifuddin

Kes dakwaan Mohamed Apandi tutup jenayah Najib diklasifikasi NFA – Saifuddin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kes membabitkan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup jenayah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan NFA itu diputuskan Pejabat Peguam Negara pada 5 Oktober 2022 selepas kertas siasatan dirujuk kepada pihak terbabit.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan siasatan sebagaimana laporan polis Dang Wangi, Repot 14852/2019 mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

“Iaitu penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan atau harta daripada dirampas.

“Kertas Siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Oktober 2022 dengan keputusan kes NFA,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bila kerajaan akan memberikan penjelasan lengkap kepada rakyat mengenai status siasatan polis terhadap Mohamed Apandi dan tindakan lanjut yang sudah atau akan diambil.

Pang juga ingin tahu apakah tindakan konkrit kerajaan untuk memastikan beliau disiasat dengan telus dan adil bagi mengekalkan integriti sistem kehakiman negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top