Isu solat Jumaat di ‘mall’: Sultan Pahang perkenan penegasan syarat ikut Mazhab Syafie

Isu solat Jumaat di ‘mall’: Sultan Pahang perkenan penegasan syarat ikut Mazhab Syafie

Jabatan Mufti Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung cadangan mewujudkan surau atau musolla Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

MUIP merupakan pihak wakili Sultan Pahang

Merujuk kenyataan dibuat Jabatan Mufti Pahang di media sosial, Muftinya, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menyatakan baginda bertitah bahawa MUIP merupakan pihak berkuasa yang mewakili Sultan Pahang dalam urusan berkaitan masjid dan surau di negeri itu selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Syarat pelaksanaan solat Jumaat perlu ikut Mazhab Syafie

Menurut beliau, Sultan Pahang turut memperkenankan penegasan Jabatan Mufti Pahang mengenai syarat sah pelaksanaan solat Jumaat mengikut Mazhab Syafie.

“Ia merangkumi enam perkara utama iaitu didirikan solat Jumaat dalam waktu Zuhur secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 jemaah (iaitu lelaki mukallaf dan bertaraf mastautin), didahului dua khutbah, dan didirikan di satu tempat atau bangunan yang dikhususkan.

“Tidak boleh ada pertembungan solat Jumaat di kawasan berhampiran kecuali jika ada kesukaran yang pasti dan akan diputuskan oleh Mufti Pahang dan disembahkan untuk perkenan Sultan Pahang.

“Baginda juga mengambil maklum susun atur masjid di negeri mengambil kira kewujudan masjid dalam pusat kemasyarakatan dan masjid atau surau kebenaran Jumaat (SKJ) lebih sesuai diimarahkan seperti Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall, dan Masjid Bandaraya (yang akan dibuka) serta Masjid Al-Shafie di Kota SAS,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan perbincangan mengenai cadangan mewujudkan surau atau musolla yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat di pusat beli-belah.

Jabatan Mufti Pahang menegaskan bahawa pelaksanaan solat Jumaat perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Mazhab Syafie, selain tertakluk kepada kuasa dan perkenan Sultan Pahang sebagai Ketua Agama Islam negeri.

Sumber: Facebook Jabatan Mufti Pahang 

Scroll to Top