Kebakaran terbuka meningkat kerana cuaca panas berterusan

Kebakaran terbuka meningkat kerana cuaca panas berterusan

Kuala Lumpur: Cuaca panas yang berterusan di beberapa negeri dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada peningkatan kes kebakaran terbuka di negeri-negeri berkenaan.

Di KEDAH, sebanyak 3,779 kes kebakaran telah dicatatkan di negeri itu bagi tempoh Januari hingga hari ini, dengan Mac merekodkan jumlah kes tertinggi, iaitu 1,246 kes.

“Faktor cuaca kering dan panas telah mencetuskan rantaian kebakaran belukar yang menolak kapasiti operasi ke tahap maksimum.

“Bagaimanapun, jumlah kebakaran belukar menurun secara drastik pada bulan ini didorong oleh kemungkinan peralihan cuaca hujan, dan keberkesanan kawalan operasi awal. Fokus bomba beralih daripada operasi memadam kebakaran kepada respons penyelamatan,” menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Di KELANTAN sebanyak 1,478 kes kebakaran terbuka direkodkan dalam tempoh Januari hingga semalam oleh JBPM Kelantan, dengan kebakaran hutan menyumbang kepada jumlah paling kritikal, iaitu 1,175 kes diikuti kebun (160), belukar (108) dan sampah (35).

Menurut PGO JBPM Kelantan, sebanyak 2,743 panggilan kecemasan dicatatkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Daripada jumlah itu, panggilan membabitkan insiden kebakaran mencatatkan angka tertinggi, iaitu sebanyak 2,358 kes, diikuti oleh panggilan untuk operasi penyelamatan dan khidmat kemanusiaan sebanyak 395 kes serta 16 kes bagi tugas-tugas khas.

“Mac merekodkan jumlah panggilan kecemasan tertinggi, iaitu sebanyak 1,092 kes dengan 982 daripadanya adalah panggilan berkaitan kebakaran,” menurut PGO.

Sementara di PERLIS, sebanyak 656 kes kebakaran terbuka direkodkan bagi tempoh Januari hingga semalam, dengan sebanyak 613 kes melibatkan belukar dan lalang, kebun dan ladang (23), sampah (16) serta hutan (empat), kata Pengarah JBPM Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin.

Sehubungan dengan itu, Wan Mohd Hamizi menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa cuaca panas, tidak membuang puntung rokok merata-rata, serta memastikan kawasan rumah dan kebun sentiasa bersih.

Di SARAWAK, Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata cuaca panas berterusan menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dikenal pasti sebagai hotspot kebakaran, terutama melibatkan kawasan tanah gambut dan kawasan pertanian.

“Miri mencatatkan situasi paling kritikal khususnya di sekitar Kuala Baram, Lutong, Permyjaya dan Bekenu, kawasan lain yang turut menjadi hotspot termasuk Sibu (Jalan Oya, Sungai Bidut, Salim), Bintulu (Samalaju, Tatau), dan Mukah (Dalat, Oya).

“Pihak bomba akan terus mempergiat operasi rondaan serta kesiapsiagaan bagi memastikan sebarang insiden kebakaran dapat ditangani dengan pantas, sekali gus mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan keselamatan awam,” katanya.

Jamri berkata, sepanjang Januari hingga 24 April lepas, sebanyak 709 kes kebakaran terbuka direkodkan di negeri itu melibatkan keluasan 1,121.2 hektar dengan kes tertinggi dicatatkan di Miri dengan 256 kes (321 hektar) diikuti Sibu sebanyak 179 kes (336 hektar).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, keadaan cuaca panas dan kering ketika ini menyumbang kepada peningkatan risiko kejadian kebakaran, khususnya melibatkan hutan, belukar serta pembakaran terbuka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MET Malaysia Ambun Dindang berkata, kombinasi suhu udara yang tinggi dan kelembapan relatif yang rendah menyebabkan kebakaran lebih mudah berlaku dan merebak dengan cepat.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran semasa, kebanyakan kawasan di negara ini dijangka mengalami pengurangan taburan hujan pada paras sedikit bawah normal sehingga bawah normal.

“Keadaan ini dijangka lebih ketara di bahagian barat Sarawak dengan pengurangan hujan yang lebih konsisten berbanding kawasan lain, khususnya dalam tempoh Jun hingga Ogos selari dengan Monsun Barat Daya.

“Sehubungan dengan itu, kawasan yang mengalami pengurangan hujan secara berterusan berpotensi menghadapi peningkatan risiko kebakaran,” katanya.

Ambun berkata, kelembapan udara yang rendah menyebabkan keadaan menjadi lebih kering, memudahkan kebakaran berlaku dan merebak dengan cepat, sekali gus menuntut orang ramai untuk lebih peka termasuk mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top