Kebebasan berucap bukan lesen jadikan agama bahan jenaka raih tepukan – Aaron Ago

Kebebasan berucap bukan lesen jadikan agama bahan jenaka raih tepukan – Aaron Ago

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memandang serius kontroversi berhubung ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Kebebasan berucap bukan lesen jadikan agama bahan jenaka raih tepukan – Aaron Ago

Foto: The Star

Beliau menegaskan bahawa apa jua niat di sebalik penggunaan sesuatu analogi, perkara yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan.

“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, terdapat batas yang perlu dihormati oleh semua pihak dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang agama, budaya dan kepercayaan.

Katanya, ucapan atau perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama secara tidak wajar berpotensi menyinggung perasaan penganut serta memberi kesan terhadap keharmonian yang selama ini dibina bersama.

“Kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak pernah bermaksud kita bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain. Prinsip ini mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik,” jelasnya.

Foto: UMNO online

Sehubungan itu, Aaron Ago memohon kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan supaya meneliti perkara berkenaan dan menjalankan siasatan sewajarnya sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata, penelitian itu termasuk kemungkinan pelanggaran di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574], selain peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Dalam pada itu, beliau mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf susulan kontroversi berkenaan.

“Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan,” tambahnya lagi.

Artikel lain: PAU 2026: Fadhli Shaari sifatkan ucapan Zahid sebagai ‘pengisytiharan perang politik’

Aaron Ago turut mengaitkan perkara itu dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, yang menurutnya menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata serta tingkah laku ketika hidup dalam masyarakat.

Beliau menegaskan prinsip tersebut bukan sekadar ungkapan, sebaliknya menjadi asas penting dalam memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti agama dipelihara dan keharmonian dalam negara berbilang agama serta budaya terus dipertahankan.

Scroll to Top