Keberanian diplomasi Malaysia terserlah, PM Anwar berjaya damaikan konflik serantau – Amirudin

Keberanian diplomasi Malaysia terserlah, PM Anwar berjaya damaikan konflik serantau – Amirudin

Malaysia sekali lagi membuktikan kematangan diplomatik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi pendamai dalam konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand yang hampir mencetuskan peperangan serantau.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memaklumkan Anwar telah memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN dengan mengadakan sesi mediasi pada petang Isnin, melibatkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak | Pejabat Perdana Menteri

“Hasil rundingan itu, satu gencatan senjata tanpa syarat telah dicapai dan akan berkuat kuasa tengah malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Amirudin, kepimpinan ditampilkan Anwar berjaya membawa keamanan antara dua negara jiran itu yang hampir terjerumus ke kancah peperangan akibat pertikaian sepanjang kira-kira 187 kilometer sempadan kedua-dua negara.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak | Pejabat Perdana Menteri

Keberanian diplomasi Malaysia terserlah

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja melegakan seluruh ASEAN, malah menunjukkan kemampuan, ketenangan serta sifat kenegaraan yang wajar dijadikan model dalam penyelesaian konflik di rantau ini.

“Rundingan dan mediasi berasaskan keamanan mesti dijadikan mekanisme utama bagi menyelesaikan pertikaian serantau. ASEAN tidak mampu ditarik ke medan perang.
“Kita telah menyaksikan kesan peperangan di Eropah dan Afrika serta genosid di Timur Tengah. Pada saat kuasa besar dunia seolah-olah mengabaikan nilai kehidupan, hari ini ASEAN membuktikan bahawa perang boleh dan mesti dielakkan,” katanya lagi.

Artikel lain: Usaha PM Anwar berhasil, Thailand & Kemboja setuju capai titik damai

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri hari ini akan dilihat sebagai detik bersejarah di mana suara rasional melalui rundingan dan keamanan lebih dihormati di pentas antarabangsa.

“Saya percaya abad ini adalah Abad Asia Tenggara, bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga dari segi prinsip kemanusiaan, budaya dan kedaulatan undang-undang yang ditampilkan ASEAN.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak | Pejabat Perdana Menteri

“Semua ini adalah asas untuk membuktikan bahawa era ASEAN mampu menjadi model demokrasi masa depan. Dan untuk mencapainya, keamanan mesti dipertahankan,”ujar beliau.

Tambah beliau, rantau ini hanya boleh terus berkembang melalui keamanan, dan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membuktikan bahawa fokus utama ke hadapan adalah mencari penyelesaian pertikaian melalui rundingan damai.

Sumber: FB Amirudin Shari

Scroll to Top